GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri komited memperkukuh institusi kehakiman syariah agar kekal relevan, diyakini rakyat dan berfungsi secara adil serta profesional.
Komitmen itu dizahirkan oleh Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid semasa menyampaikan ucapan penutup Konvensyen Perundangan dan Kehakiman Syariah Negeri Pulau Pinang 2025 di sini pada 22 Julai 2025.
Katanya, dalam era masa kini, sistem perundangan syariah perlu diperkasa secara menyeluruh baik dari segi peruntukan undang-undang mahupun kecekapan institusi kehakiman.
“Ini termasuk kemahiran hakim dan para pegawai syariah hinggalah (aspek) literasi masyarakat tentang hak dan tanggungjawab mereka dalam sistem perundangan Islam.
“Kesemua nilai ini secara jelas berpaksikan kepada falsafah ‘maqasid syariah’ iaitu menjaga agama, nyawa, akal, keturunan, dan harta.
“Maka, usaha kita dalam memperkukuhkan institusi kehakiman syariah ini adalah sebahagian daripada usaha membina sebuah negara bangsa yang adil dan sejahtera dalam kerangka Malaysia Madani,” ujarnya yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).
Hadir sama, Setiausaha MAINPP, Dato’ Rosidi Hussain; Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Pulau Pinang, YAA Za’im Md. Yudin; mantan Ketua Hakim Negara, Tun Dato’ Seri Zaki Tun Azmi dan barisan panel jemputan.
Mohamad yang juga Exco Pembangunan Agama Islam dalam pada itu turut menyatakan keyakinannya bahawa idea dan cadangan yang dikemukakan sepanjang konvensyen ini akan menjadi asas penting dalam menambah baik dasar, latihan serta penyusunan semula prosedur pentadbiran perundangan dan kehakiman syariah di negeri ini.
Konvensyen tahunan tersebut menghimpunkan panel-panel berpengalaman daripada pelbagai latar belakang undang-undang syariah dan sivil yang membentangkan kertas kerja serta cadangan ke arah reformasi sistem perundangan Islam di peringkat negeri dan kebangsaan.