Komited salur bantuan kewangan kepada Penang Football Club hingga hujung tahun

Admin

BUKIT TAMBUN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pentadbirannya komited untuk menyalurkan bantuan kewangan kepada Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) sungguhpun pertubuhan tersebut 100 peratus akan diswastakan dan beroperasi sebagai kelab bola sepak (FC) mulai tahun 2021.

Justeru, beliau berharap Skuad Harimau Kumbang dapat memburu kemenangan dalam tujuh baki perlawanan pada musim saingan Liga Premier ini, sebelum melayakkan diri ke Liga Super pada tahun hadapan.

KETUA Menteri

“Bagi pemain, kestabilan kewangan ini adalah sesuatu yang menyenangkan hati, maka, para pemain dapat memberi tumpuan beraksi di padang sahaja.

“Kita (Kerajaan Negeri) tidak mahu kebajikan pemain terjejas disebabkan persatuan beralih menjadi kelab (bolak sepak, FC).

“(Oleh itu,) Kerajaan Negeri terus komited sehingga akhir tahun ini, daripada segi bantuan kewangan (untuk membantu FAP),” jelasnya dalam sesi lawatan beliau ke Sesi Latihan Pasukan FAP di Stadium Negeri dekat Batu Kawan pada 25 Julai 2020.

Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal; Presiden Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) merangkap Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Dr. Amar Pritpal Abdullah; ADUN Bukit Tambun, Goh Choon Aik dan Ahli Parlimen Batu Kawan, P. Kasthuriraani turut sertai acara tersebut.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Deputi Superintendan Lee Chong Chern dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Stadium dan Tanah Lapang Pulau Pinang, Mohamed Akbar Mustapha.

KETUA Menteri berucap sebelum sesi latihan Pasukan FAP di Stadium Negeri dekat Batu Kawan pada 25 Julai 2020.

Difahamkan, sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lepas, Skuad Harimau Kumbang memenangi dua perlawanan dan seri dua perlawanan lain.

Sepanjang tempoh PKP baru-baru ini pula, sesi latihan dijalankan secara begitu terhad, tiga sesi dengan tiap-tiap sesi hanya boleh menurunkan 10 pemain sahaja.

Pada 26 Ogos ini, pasukan Liga Premier negeri akan mengharungi tujuh baki perlawanan mengikut jadual asal dikeluarkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Pasukan Liga Premier negeri dijadual menentang Kelantan di gelanggang lawan pada 26 Ogos 2020.

Sehingga kini, pasukan Liga Premier negeri di bawah bimbingan Manzoor Azwira Abdul Wahid sudah melalui sesi latihan di arena selama tiga minggu.

SESI latihan Skuad Harimau Kumbang di Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan pada lewat petang tadi.

Bercakap dalam sidang media selepas itu, Amar Pritpal menyatakan bahawa proses menukar status FAP menjadi kelab bola sepak adalah demi memenuhi syarat Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) serta FAM.

Beliau menjelaskan bahawa ketika ini FAP telahpun melangsaikan kesemua tunggakan hutang kira-kira hampir RM12 juta.

“FAP akan dikendalikan oleh sebuah kelab dikenali sebagai Penang Football Club.

“FAP akan menjadi sebuah kelab (berusia) 100 tahun pada tahun hadapan (2021), kami adalah sebuah kelab (Penang Football Club) yang tidak ada hutang dengan sesiapa pun sekarang.

“Jadi, ramai (firma bukan kerajaan dan pihak swasta) berminat kerana kita (Penang Football Club) tidak ada hutang (tertunggak).

“Maka, kami di peringkat FAP akan menubuhkan suatu jawatankuasa khas untuk melihat apakah syarat-syarat yang kita harus kenakan kepada tawaran-tawaran yang dibuat ini (kepada pihak berwajib),” ulasnya sambil merakamkan penghargaan kepada pentadbiran Kon Yeow kerana menyatakan komitmen daripada segi kewangan untuk perjalanan operasi Penang Foodball Club sehingga hujung tahun ini.

Selain itu, sebagaimana dihasratkan oleh Kon Yeow, Amar Pritpal berkata bahawa pihaknya turut optimis dengan aksi Skuad Harimau Kumbang untuk menghabiskan tujuh baki perlawanan dalam musim saingan Liga Premier ini.

“Kita juga amat optimis dan positif dengan pencapaian skuad Harimau Kumbang yang mana mereka sudahpun memenangi dua perlawanan, dua seri dan tinggal baki tujuh perlawanan lagi.

“Jika prestasi mereka bagus, tidak mustahil pasukan Pulau Pinang akan ke Liga Super,” ujarnya.

KETUA Menteri dan barisan pemimpin Kerajaan Negeri lain mengangkat kain rentang pembukaan trek balapan Stadium Negeri Pulau Pinang dekat Batu Kawan kepada orang ramai untuk aktiviti joging serta larian yang bersesuaian sahaja, tiap-tiap hari mulai 1 Ogos 2020.

Dalam perkembangan berasingan, Kon Yeow turut menyempurnakan acara perasmian trek balapan Stadium Negeri Pulau Pinang dekat Batu Kawan yang dijadual dibuka kepada orang ramai untuk aktiviti joging serta larian yang bersesuaian sahaja, tiap-tiap hari mulai 1 Ogos 2020.

Pembukaan adalah dalam dua sesi, iaitu 7 pagi hingga 9 pagi dan 5 petang hingga 7 malam.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI