Komitmen CCPSS laksana program kesedaran jenayah wajar dipuji

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyatakan bahawa Kerajaan Negeri amat menghargai segala komitmen dan gerak kerja yang telah diusahakan oleh Pertubuhan Kesedaran Jenayah dan Keselamatan Awam Pulau Pinang (CCPSS) sehingga kini.

 

 

Pendekatan berkaitan, menurut beliau, antaranya adalah menerusi kepelbagaian penganjuran program kesedaran berkait dengan jenayah dan keselamatan awam sejajar dengan moto ‘Consciously Curbing Crime’.

 

 

Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), peranan yang dimainkan oleh CCPSS berhubung pelaksanaan kerja-kerja sukarela berkaitan kesedaran pencegahan jenayah adalah wajar dipuji.

 

 

“Sebagai ‘orang biasa’, kita tiada kuasa dan keupayaan untuk menguatkuasakan undang-undang berhubung pencegahan jenayah dan sebagainya.

 

 

“Tetapi sebagai NGO, komuniti serta badan-badan mewakili rakyat memang ada peranan penting untuk bekerjasama, berkolaborasi dan menyokong tentang apa yang dilakukan oleh agensi-agensi penguatkuasaan menerusi penyampaian maklumat dan seterusnya mengambil tindakan perlu,” ujarnya pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Pertama CCPSS di sini tadi.

 

Hadir sama, Pengerusi CCPSS, Datuk Mohamad Anil Shah; Timbalan Pengerusi CCPSS, Goh Hoe Eng dan ahli-ahli CCPSS.

 


Kon Yeow dalam pada itu turut merakamkan ucapan tahniah kepada CCPSS ekoran pelantikan Yang di-Pertua Negeri Tuan Yang Terutama (TYT), Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak sebagai penaung pertubuhan.

 

 

“Saya yakin dengan kepimpinan jawatankuasa dan kerjasama yang menyeluruh daripada semua ahli, pertubuhan ini akan diterima baik serta mampu terus bergerak maju ke hadapan.

 

 

“Buktinya, dalam tempoh yang agak singkat ini juga, CCPSS telah mempunyai sejumlah 200 ahli dari segenap lapisan masyarakat.

 

 

“Melalui pelbagai jalinan kerjasama dan kolaborasi antara pelbagai agensi yang mempunyai matlamat sama, CCPSS juga telah menjalankan sejumlah 40 program berkait dengan aspek kesedaran jenayah dan keselamatan awam serta bersifat kebajikan,” jelasnya yang juga Exco bagi Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi.

 

 

Antaranya, kata beliau, kejayaan Program Talian Kecemasan bagi mencegah kes-kes ancaman bunuh diri dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Bomba Dan Penyelamat.

 

 

Samentara itu, Mohamad Anil yang juga bekas pegawai tinggi polis merakamkan penghargaan kepada Kon Yeow yang turut menyumbangkan dana kepada CCPSS walaupun tanpa dimohon dalam satu kunjungan hormat pihak berkaitan September lalu.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD

Video : CHAN KOK KUAN