GEORGE TOWN – Semua 28 buah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di negeri ini kini dilengkapi kemudahan smartboard meskipun berdepan cabaran infrastruktur seperti bangunan sekolah yang usang, kekurangan bilik darjah, makmal komputer dan peralatan moden.
Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Dato’ Seri S. Sundarajoo berkata, Kerajaan Negeri komited memperkasa pembangunan SJKT termasuk menyediakan smartboard bagi memperkukuh Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK21).
Menurut beliau, sejak 15 tahun, Kerajaan Negeri menubuhkan Jawatankuasa Khas SJKT bagi memastikan suasana pembelajaran yang kondusif, inklusif dan saksama untuk murid-murid di sekolah Tamil.
“Sejak itu, Kerajaan Negeri telah menghulurkan pelbagai bantuan kewangan bagi penambahbaikan infrastruktur sekolah Tamil, termasuk penganjuran program peningkatan akademik dan kemahiran digital.
“Bagi tahun 2025 sahaja, sebanyak RM2.3 juta telah disalurkan kepada 28 SJKT termasuk 14 tadika Tamil di negeri ini, yang secara keseluruhan berjaya meningkatkan mutu dan kualiti pendidikan Tamil di Pulau Pinang.
“Malah, inisiatif yang dilaksanakan ini turut menjadi model pentadbiran komuniti minoriti yang berjaya pada peringkat nasional khususnya dalam memperkasa sekolah vernakular di Malaysia,” ujarnya pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-15 di sini pada 17 November 2025.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Batu Uban, A. Kumaresan, mengenai peranan Jawatankuasa Khas SJKT dan perkara yang dilaksanakan bagi memperkukuh pembangunan infrastruktur, akademik serta kebajikan pelajar di sekolah-sekolah Tamil di negeri ini.
Mengulas lanjut, Sundarajoo memaklumkan bahawa Pulau Pinang merupakan satu-satunya negeri yang menubuhkan jawatankuasa khas seumpama itu.
Tambah beliau, melalui Jawatankuasa Khas SJKT, banyak isu termasuk berkaitan status pemilikan tanah dapat diselesaikan, sekali gus membantu meningkatkan prestasi sekolah-sekolah Tamil.
“Jawatankuasa ini juga menganjurkan pelbagai program seperti kursus untuk guru besar dan guru-guru SJKT, selain menghantar murid menghadiri kelas robotik serta program pemartabatan bahasa Tamil.
“Selain itu, jawatankuasa ini turut menyelaras serta menyalurkan peruntukan melalui geran pembangunan dan tabung khas negeri, meliputi projek penambahbaikan infrastruktur, latihan dan pembelian peralatan bantu belajar,” katanya.

Menjawab soalan tambahan daripada Kumaresan selepas itu berhubung kerjasama pada peringkat Persekutuan, Sundarajoo memaklumkan bahawa Kerajaan Pusat turut menghulurkan bantuan kepada SJKT di negeri ini.
“Terdapat enam buah SJKT di negeri ini yang merupakan sekolah kerajaan sepenuhnya di bawah tanggungan Kerajaan Persekutuan, manakala, selebihnya merupakan Sekolah Bantuan Kerajaan (SBK),” jelasnya.
Mengenai cadangan penubuhan Sekolah Menengah Jenis Tamil (SMJT), Sundarajoo berkata perkara itu pernah dibangkitkan, namun perlu diperhalusi dari aspek perundangan, kemampuan kewangan, unjuran enrolmen murid dan faktor praktikal.
Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI Gambar: SITI NURATIKAH RAHMAT