Kompaun maksimum RM250,000 tidak patuh garis panduan kerja-kerja tanah – Exco

Admin

GEORGE TOWN – Pindaan ke atas Undang-Undang Kecil Mengkompaun Kesalahan-Kesalahan di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) yang digazetkan 2 Julai lalu memperuntukkan kompaun maksimum sehingga RM250,000 bagi setiap kesalahan jika ingkar.

 

Exco Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir, Zairil Khir Johari berkata bahawa pindaan tersebut dibuat ekoran kadar ketidakpatuhan yang tinggi disebabkan penalti yang dikenakan sebelum ini adalah terlalu ringan.

 

 

“Undang-Undang Kecil yang baru digubal ini bertujuan untuk menguatkuasakan Pelan Kawalan Hakisan dan Kelodak (ESCP) yang melibatkan tiga seksyen di bawah Akta 133 iaitu Seksyen 70A, 71 dan 121.

 

 

“Bagi Seksyen 121, sekiranya tidak mematuhi kehendak notis yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu melibatkan kesalahan kecil, kompaun yang akan dikenakan untuk setiap kesalahan adalah minimum RM1,500 dan maksimum tidak melebihi RM5,000.

 

“Untuk Seksyen 70A, menjalankan kerja tanah tanpa kebenaran bertulis PBT atau tidak mengikuti Pelan Kerja Tanah yang diluluskan, kompaun tidak kurang RM7,500 dan tidak melebihi RM25,000 (setiap kesalahan).

 

“Manakala bagi Seksyen 71, sekiranya gagal menyelia tapak sehingga menyebabkan keruntuhan cerun atau tembok penahan, kompaun tidak kurang RM75,000 dan tidak melebihi RM250,000 untuk setiap kesalahan boleh dikenakan,” tegas beliau dalam satu sidang media pengumuman pindaan Pewartaan Undang-Undang Kecil Mengkompaun Kesalahan-kesalahan di bawah Akta Jalan Parit Dan Bangunan 1974 (Akta 133) pagi tadi.

 

Hadir sama, Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh; Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pulau Pinang, Ir. Shukri Muslim; Timbalan Pengarah Kejuruteraan bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Mohd. Syukri Said dan Jurutera Kanan (Geoteknikal) Jabatan Kejuruteraan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Mohd. Razif Mohd. Yusoff.

 

 

Terdahulu, sebelum ini, bagi membendung masalah yang berkait dengan kerja tanah di tapak-tapak pembinaan, Kerajaan Negeri sudah memulakan Ops Lumpur sejak tahun 2017.

 

 

Menurut Zairil, pada tahun 2017, enam operasi telah dijalankan dengan ketidakpatuhan sebanyak empat kes.

 

 

Jelasnya, bagi tahun 2018, dari 18 operasi dijalankan, 18 kes didapati tidak mematuhi ESCP.

 

 

“Pada tahun lalu (2019) pula, daripada 77 operasi yang dilakukan, sebanyak 60 kali ketidakpatuhan telah dikenalpasti, walaupun kekerapan operasi telah ditingkatkan lebih 12 kali ganda berbanding dua tahun sebelumnya, namun kadar ketidakpatuhan ini masih lagi tinggi, iaitu lebih kurang 78 peratus.

 

 

“Antara sebab kadar ketidakpatuhan yang tinggi adalah penalti yang terlalu ringan kerana MBPP tidak mempunyai peruntukan kompaun bagi kesalahan-kesalahan tersebut, manakala di pihak MBSP pula hanya mempunyai peruntukan kompaun sebanyak RM250.

 

 

“Maka tidak menghairankan apabila pihak pemaju dan jurutera perunding tidak mengambil berat akan kepatuhan pelan ESCP,” maklum Zairil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bunga.

 

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

 

Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI