Kompaun RM250 sehari pelekat tanpa permit

Admin

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN – Sebuah syarikat telekomunikasi terkemuka bakal dikenakan kompaun RM250 sehari bagi setiap laluan atau jalan di mana pelekat publisiti milik pihak berkaitan dikesan ditampal tanpa permit di sini.

Pengumuman tersebut adalah ekoran maklum balas orang ramai berhubung pelekat yang ditampal di lokasi-lokasi awam seperti tiang lampu, tong sampah, stesen bas, pondok telefon dan kotak-kotak jana kuasa elektrik milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Telekom Malaysia (TM).

Ahli Majlis Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Ong Ah Teong berkata, pihak Pelesenan MPPP akan mengeluarkan kompaun RM250 sehari bagi setiap jalan meliputi Jalan Dr. Lim Chong Eu, sepanjang jajaran Jalan Queensbay Mall, Jalan Penang dan Jalan Sultan Ahmad Shah di sini.

“Kompaun akan terus diberikan sehingga syarikat tersebut menanggalkan semua pelekat dan segera menghentikan kerja tidak bertanggungjawab ini,” tegasnya ketika menyertai beberapa kakitangan MPPP dalam operasi menanggalkan pelekat dipercayai haram tersebut di sekitar Komtar di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli-ahli Majlis MPPP, Lim Boon Beng, Tan Chiew Choon dan Tan Hooi Peng. Ah Teong dalam nada yang sama turut akan membawa perkara tersebut ke Mesyuarat Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam MPPP untuk dipertimbangkan tindakan yang lebih tegas kepada syarikat telekomunikasi terbabit ekoran ia merupakan kesalahan kedua dilakukan dalam tempoh dua tahun pihak berkenaan.

“Saya akan membawa perkara ini ke pengetahuan komuniti. Ini adalah satu kesalahan serius kali kedua yang dilakukan oleh mereka (syarikat).

“Kita (MPPP) tidak teragakagak untuk menghentikan segala bentuk iklan syarikat terbabit di seluruh Pulau Pinang selama tempoh enam bulan,” tegas beliau.