Kompleks Jalan Kedah, contoh kepelbagaian kaum serta agama dapat hidup dalam suasana satu padu dan harmoni – Kon Yeow

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memuji jalinan kerjasama yang terjalin dalam kalangan Persatuan Penduduk Kompleks Jalan Kedah berhubung penganjuran Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina 2019 di sini.

Menurut beliau, kejayaan menganjurkan majlis keramaian seumpama berkaitan membuktikan semangat perpaduan dan kebertanggungjawaban dalam kalangan penduduk setempat.

CHOW Kon Yeow beramah mesra dengan tetamu jemputan khas pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina 2019 di Kompleks Jalan Kedah dekat sini.

“Kawasan ini (Kompleks Jalan Kedah) merupakan contoh kepelbagaian kaum serta agama dapat hidup dalam suasana satu padu, harmoni dan saling tolong-menolong.

“Malah, penduduk di sini juga saling bertanggungjawab dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan terpelihara,” ucapnya yang turut menzahirkan ucapan penghargaan kepada Persatuan Penduduk Kompleks Jalan Kedah pada majlis berkaitan.

Turut berucap, Pemangku Pengerusi Persatuan Penduduk Kompleks Jalan Kedah dan Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kompleks Jalan Kedah.

WAKIL Persatuan Penduduk Kompleks Jalan Kedah menyerahkan karikatur Ketua Menteri sebagai cenderahati.

Dalam pada itu, Kon Yeow turut berharap penduduk dan pimpinan Persatuan Penduduk Kompleks Jalan Kedah dapat bekerjasama dalam menguruskan hal ehwal penduduk di sini.

“Kompleks Jalan Kedah ini sudah berusia 33 tahun, jadi saya berharap ia dapat kekal sebagai perumahan awam yang selesa, selamat dan syurga buat kita semua.

“Sama-samalah kita menjaga kemudahan awam yang ada, jika tidak dijaga akan timbul pelbagai masalah kelak,” katanya.

SEBAHAGIAN tetamu yang hadir tidak mahu melepaskan peluang merakam kenangan bersama-sama Ketua Menteri pada penganjuran rumah terbuka di sini.

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALISSALA THIAN