Kompleks Pasar Awam Batu Feringghi mula beroperasi

TANJUNG BUNGA – Kompleks Pasar Awam Batu Feringghi yang terletak di Jalan Sungai Satu kini sudah memulakan operasi sejak 29 Ogos yang lalu.

Selain pasar, kompleks tersebut turut menyediakan medan selera, dewan serbaguna, gelanggang badminton, ruang awam dan kemudahan-kemudahan lain yang serba lengkap.

Wakil Badan Pengurusan kompleks tersebut, Adrian Soh Yong Jing berkata, pasar awam dengan kemudahan lengkap tersebut kini dibelenggu ketiadaan pelanggan.

“Di sini orang masih lagi kurang pelanggan walaupun lebih daripada sebulan telah beroperasi, sebenarnya di Batu Feringghi tiada pasar khas, cuma ada jualan di Sungai Kelian.

“Saya pun tidak pasti mengapa mereka masih tidak berpindah ke sini, cadangan juga telah diberi kepada pihak bertanggungjawab.

“Bahagian depan kita tempatkan beberapa perniagaan kerana jika tidak buat begini orang yang lalu masuk terus akan keluar, kerana pasar basah terletak di belakang sikit,” ujar beliau kepada Buletin Mutiara.

 

Tambah beliau, melalui kemudahan selesa dan bersih itu, pihaknya mengenakan sewa berpatutan kepada peniaga di situ.

Seorang peniaga ikan, yang ditemui, R. Daniel Deraj Dass berharap penduduk sekitar Batu Feringghi dapat ‘membantu’ mereka dengan membeli barangan keperluan harian di pasar tersebut.

“Sebelum ini meniaga di lot kedai dekat sebuah flat, sewa mahal RM1,000, di sini sewa cuma RM500. Daripada segi sambutan pula, kebanyakan pelanggan yang pernah beli di flat ketika saya berniaga dahulu sememangnya datang kembali ke sini.

“Cuma pelanggan baharu itu agak kurang, jadi kalau mereka sokong kami di sini lebih baik, jimat kos berbanding jika penduduk pergi sampai ke Pasar Tanjung Bunga, Teluk Bahang, pasti ia melibatkan kos lagi.

“Selain itu, saya ingin memohon pihak berwajib untuk buat penyambungan jalan di belakang (Jalan Sungai Satu) kerana ia boleh tarik ramai lagi datang ke sini,” katanya lagi.

Bagi menambah tarikan sedia ada, pasar malam turut dianjurkan pada setiap hari Sabtu di kawasan berkenaan.

Untuk sebarang tempahan dewan dan kemudahan di sini, orang ramai boleh menghubungi Yong Jing di talian 012-4975599.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : JOANNE FOONG