Komtar perlukan pengurusan baik agar terus jadi kemegahan Pulau Pinang

GEORGE TOWN – Bangunan Komtar yang mula dibina pada era 70-an masih memerlukan pengurusan yang baik supaya terus menjadi lambang kemegahan negeri Pulau Pinang.

Perkara tersebut dinyatakan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow pada sambutan Perayaan Chap Goh Meh 2019 Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Komtar dekat pusat beli-belah Prangin Mall di sini petang tadi.

“Sebagai ADUN Komtar, saudara Teh Lai Heng nampaknya perlu memikul tanggungjawab tambahan iaitu menjaga pengurusan Komtar di sebalik menjaga DUN Komtar.

“ADUN Komtar juga perlu membantu PDC (Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang) menjaga pengurusan Komtar supaya ianya terus menjadi kemegahan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan juga lambang Negeri ini yang mencapai taraf bandaraya,” ucapnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong pada majlis berkenaan. 

Turut hadir, Lai Heng yang juga merangkap Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri; ADUN Batu Lancang, Ong Ah Teong; Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang, Wong Yuee Harng dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) setempat.

Kon Yeow dalam pada itu turut menyatakan bahawa pengurusan Komtar di bawah PDC adalah amat baik walaupun pernah hampir ditinggalkan oleh kerajaan terdahulu (Barisan Nasional).

“Mantan Ketua Menteri, saudara Lim Guan Eng putuskan Kerajaan Negeri untuk terus kekal di Komtar bersama MBPP, di sini juga menempatkan pejabat-pejabat bagi Kerajaan Pusat, dan Komtar terus menjadi nadi bagi negeri Pulau Pinang,” ujarnya.

Antara acara menarik yang dipersembahkan ialah, tarian kebudayaan, menggaul yee sang, persembahan gendang Cina dan orkestra Cina.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI

Video : AHMAD ADIL MUHAMAD