GEORGE TOWN – Sempena ulang tahun ke-40 pengoperasian Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), mereka yang ingin menyewa lot komersial di sini mulai bulan Januari 2026 ditawarkan potongan kadar sewa 100 peratus pada tahun pertama, 50 peratus pada tahun kedua untuk tempoh minimum tiga tahun.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa dengan pakej istimewa yang diumumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Dato’ Aziz Bakar tersebut, diharapkan pendekatan tersebut akan terus menjadikan Komtar sebagai mercu tanda pembangunan dan kemajuan negeri ini pada masa hadapan.
“Pada masa kini, walaupun Komtar masih menjadi satu lokasi penting, ia menghadapi pelbagai cabaran (serta terus menjadi) mercu tanda kegemilangan Pulau Pinang.
“Perubahan ini perlu diterima, dan kita (Kerajaan Negeri) berharap apa-apa usaha yang dilakukan oleh semua pihak untuk menghidupkan semula Komtar ini, dapat berhasil.
“Kepada PDC yang menawarkan pakej tanpa (bayaran) sewa ini kepada premis-premis (komersial) yang masih dimiliki oleh pihak berkaitan (PDC), ia dapat menjadi salah satu inisiatif tambahan untuk menarik lebih ramai peniaga beroperasi di Komtar,” jelasnya yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi semasa merasmikan Karnival Komtar Sempena Ulang Tahun Ke-40 di sini pada 5 Disember 2025.

Di samping itu, Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan menyatakan bahawa Kerajaan Negeri hari ini percaya projek pemajuan transit aliran ringan (LRT) Laluan Mutiara yang dijangka siap pada tahun 2031 nanti turut akan membawa limpahan ekonomi serta menghidupkan semula Komtar serta kawasan sekitarnya.

Berucap sebelum itu, Aziz memberitahu bahawa PDC akan menyalurkan peruntukan insentif sebanyak RM20,000 kepada Pejabat Exco Perdagangan, Pembangunan Keusahawanan dan Luar Bandar, Dato’ Rashidi Zinol bagi menggalakkan usahawan Bumiputera menjalankan aktiviti perniagaan di Komtar.
Selain Rashidi, turut hadir sama ialah ADUN Komtar, Teh Lai Heng dan ADUN Pengkalan Kota, Wong Yuee Harng.
Serentak pada majlis sama, Kon Yeow turut menyampaikan sijil penghargaan kepada para penyewa lot komersial lama yang masih setia berniaga serta mahu melihat Komtar kekal sebagai mercu tanda pembangunan negeri kelak.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SIEW CHIA EN
Video : ALISSALA THIAN