Komuniti Bandar Cassia, Bukit Tambun terima gelanggang badminton dan bot penumpang

Admin

BUKIT TAMBUN – Komuniti Bandar Cassia kini boleh menikmati kemudahan gelanggang badminton yang lebih selesa di Dewan Majlis Penggurusan Komuniti Kampung (MPKK) Bandar Cassia, Batu Kawan.

Ketua Menteri ‘Caretaker’, Y.A.B Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa kemudahan tersebut adalah hasil naik taraf bernilai RM40,000 dibiayai Kerajaan Negeri dan sumbangan RM20,000 oleh mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik.

“Dewan ini pada asalnya adalah milik Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), namun keputusan terakhir adalah kita melantik MPKK (Majlis Pengurusan Komuniti Kampung) Bandar Cassia untuk menguruskan dewan besar ini.

Gelanggang badminton baharu di Dewan MPKK Bandar Cassia.

“(Dan) kepimpinan MPKK mencadangkan agar dapat digunakan sebagai kemudahan sukan khususnya badminton, dan permohonan berkaitan (cadangan ini) telah dikemukakan kepada Kerajaan Negeri.

“Projek ini telah siap pada penghujung Disember tahun lepas dan boleh digunakan untuk sewaan komuniti sekitar,” ujarnya pada Majlis Perasmian Gelanggang Badminton Dewan Bandar Cassia dan Tapak ‘Farmer to Farmer’ di sini pagi tadi.

Turut hadir, Datuk Bandar MBSP, Dato’ Azhar Arshad; wakil-wakil Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Selatan (SPS) dan wakil-wakil MPKK setempat.

Kon Yeow dalam pada itu memuji usaha MPKK Bandar Cassia yang menjalankan pertanian dalam bandar melalui projek ‘Farmer to Farmer’ di dewan tersebut.

 

“Melalui portfolio Exco ‘Caretaker’ Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Norlela Ariffin, peruntukan RM30,000 disediakan untuk projek rumah hijau.

Projek rumah hijau yang dibangunkan.

“Ianya adalah bagi menggalakkan komuniti terlibat dalam keterjaminan makanan, saya percaya Kerajaan Negeri juga mahu terlibat secara langsung dalam konsep keterjaminan makanan melalui pertanian bandar,” maklumnya yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan.

Mengulas lanjut, Kon Yeow turut memberitahu bahawa Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) memperuntukkan RM2 juta bagi menyempurnakan kemudahan lampu jalan, longkang, landskap, penanaman pokok dan pengurusan tasik di kawasan Dedaun, Bandar Cassia yang dijangka siap akhir tahun ini.

Sementara itu, dalam majlis berasingan, Kon Yeow turut menyampaikan sumbangan sebuah bot pelancongan kepada MPKK Kampung Bagan Bukit Tambun.

Beliau berkata, sumbangan bot bernilai RM79,500 oleh Kerajaan Negeri adalah bagi memenuhi hasrat MPKK Kampung Bagan Bukit Tambun bagi menjana pendapatan sendiri melalui aktiviti pelancongan.

Bot pelancongan yang disumbangkan oleh Kerajaan Negeri kepada MPKK Kampung Bagan Bukit Tambun.

“Semasa program Jelajah ❤️PENANG Ketua Menteri baru-baru ini, MPKK Kampung Bagan Bukit Tambun telah membangkitkan inisiatif mengadakan bot pelancongan untuk membawa pelancong bersiar-siar di sekitar Kampung Bagan Bukit Tambun.

“Oleh itu, Kerajaan Negeri menyumbangkan sebuah bot jenis 150 kuasa kuda (HP) Mercury Outboard Engine dengan kapasiti 12 tempat duduk penumpang untuk diuruskan oleh pihak MPKK.

“Dengan adanya bot ini, pihak MPKK dapat mempromosikan produk pelancongan tempatan dan pada masa sama dapat menjana pendapatan sendiri,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan bot pelancongan kepada MPKK Bukit Tambun di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Pengerusi MPKK Bukit Tambun, Chew Kean Nam serta Pengerusi MPKK Kampung Bagan Bukit Tambun, Ester Oh Peng Jeat.

Dalam pada itu, Kean Nam menyatakan bahawa selain untuk aktiviti ekopelancongan seperti island hopping, memancing dan melawat sangkar ikan, bot tersebut juga akan digunakan bagi membantu pihak bomba sekiranya berlaku kecemasan di kawasan berkaitan.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI & SUNARTI YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD & ALISSALA THIA
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI & AHMAD ADIL MUHAMAD