Komuniti Kampung Selamat perlukan pasar awam, kata Lay Hock Peng

Admin

PINANG TUNGGAL – Lay Hock Peng memberitahu bahawa pihaknya akan berbincang dengan agensi-agensi Kerajaan berwajib mengenai cadangan penduduk Kampung Selamat di sini yang memerlukan sebuah pasar awam.

Pegawai Penyelaras Khas Kepada Ketua Menteri itu berkata demikian selepas mengadakan program jerayawara mengedarkan pelitup muka kepada orang awam dekat pasar pagi berhampiran Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Mah Hua dekat sini pada 3 Disember 2020.

“Pasar pagi ini wujud lebih 20 tahun lalu, di bahu jalan sahaja (sedangkan) penduduk di sini memang memerlukan sebuah pasar awam yang lebih selesa.

“Kalau waktu sekolah dibuka, kawasan pasar pagi di sini adalah tidak sesuai daripada aspek keselamatan dan begitu juga jika tiada PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat).

“Saya akan berbincang dengan agensi berkaitan, kalau boleh diadakan sebuah pasar awam di (Kawasan Dewan Undangan Negeri, KADUN) Pinang Tunggal terutama di kawasan Kampung Selamat ini,” jelasnya.

Difahamkan, pasar pagi di sini mempunyai seramai 60 penjaja kecil.

Menurut Hock Peng lagi, Pasar Awam Tasek Gelugor, Pasar Awam Padang Serai dan Pasar Awam Kepala Batas adalah sangat jauh untuk diakses oleh penduduk setempat Pinang Tunggal terutama Kampung Selamat.

Seterusnya, jerayawara Hock Peng diiringi Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Ooi Yong Wooi beredar ke Pasar Awam Sungai Dua.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD