Komuniti nelayan akan dilibatkan secara aktif dalam pembangunan PSI

BAYAN LEPAS – Kerajaan Negeri Pulau Pinang menubuhkan satu lagi Pusat Perkhidmatan Setempat Nelayan (PPSN) dekat Sungai Batu, di sini sebagai platform penyaluran maklumat dan perincian projek berkaitan Penang South Islands (PSI).

PPSN Sungai Batu merupakan yang ketiga dibangunkan di negeri ini selepas PPSN Permatang Damar Laut pada tahun 2016 dan PPSN Gertak Sanggul (2017).

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, penubuhan sebuah lagi PPSN adalah untuk memastikan golongan nelayan dilibatkan secara aktif dalam projek PSI agar manfaat pembangunan dapat dinikmati oleh komuniti berkenaan.

Ketua Menteri sedang meneliti maklumat berkaitan PSI yang dipamerkan di PPSN Sungai Batu dekat sini.

“PPSN akan berperanan mendaftarkan orang ramai yang berminat untuk bekerja dalam pembangunan PSI serta menyelaras program-program penglibatan komuniti dalam pelaksanaan skim Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP).

“Seperti yang dimaklumkan, manfaat SIMP adalah termasuk bantuan kewangan (ex-gratia), pemberian bot dan enjin kepada tekong dari Permatang Tepi Laut, Sungai Batu, Teluk Kumbar dan Gertak Sanggul.

“Selain itu, skim latihan dan kemahiran, skim pendidikan untuk anak nelayan, peluang pekerjaan dan perniagaan serta bantuan perumahan turut diberikan melalui skim SIMP,” katanya semasa merasmikan PPSN Sungai Batu sebentar tadi.

Hadir sama, Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz: Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Dato’ Azhar Arshad; Pegawai Daerah Pejabat Daerah Barat Daya, Mohd. Hafiz Aswad Nadzri dan Ketua Pegawai Eksekutif Penang Infrastructure Corporation Sdn. Bhd., Datuk Seri Farizan Darus.

Sehubungan itu, Kon Yeow menegaskan bahawa pandangan sesetengah pihak yang menyatakan pembangunan PSI bakal meminggirkan masyarakat setempat khususnya komuniti nelayan adalah tidak benar sama sekali.

Bersama-sama kepimpinan Kerajaan Negeri dan PIC selepas merasmikan PPSN Sungai Batu.

“Dalam usaha merealisasikan pembangunan PSI yang bakal memperkasakan sektor ekonomi negeri bagi jangka masa panjang, Kerajaan Negeri juga ingin melihat komuniti selatan pulau Pulau Pinang terutamanya nelayan dapat bersama-sama menikmati kemajuan ini.

“Justeru, komuniti nelayan di selatan pulau Pulau Pinang akan menjadi golongan masyarakat terawal yang akan menikmati kebaikan daripada pembangunan PSI melalui skim SIMP,” tegasnya.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu bahawa sehingga 30 November 2021, seramai 45,034 orang telah terlibat dalam sesi libat urus melalui pelbagai perjumpaan yang dijalankan.

“Maklumat serta maklum balas nelayan yang dikumpul oleh PPSN ini sangat membantu Kerajaan Negeri dalam merangka skim SIMP yang akan memanfaatkan komuniti,” ulasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow memaklumkan bahawa manfaat yang dijanjikan melalui skim SIMP masih tidak dapat dilaksanakan ekoran pembatalan kelulusan Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) 2019 yang dikemukakan Kerajaan Negeri oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada September lalu.

Beliau berkata, perkara itu adalah termasuk pembinaan empat jeti baharu dekat Sungai Batu bagi memudahkan nelayan untuk menangkap ikan apabila pembangunan PSI dilaksanakan kelak.

“Jadi, saya rasa komuniti di sini faham bahawa kita (Kerajaan Negeri) bukan tidak mahu menunaikan janji (manfaat skim SIMP) tetapi ia tidak dapat dilaksanakan kesan daripada pembatalan EIA tersebut,” jelasnya yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi.

Difahamkan, waktu operasi PPSN Sungai Batu adalah pada setiap hari kecuali Sabtu dan Ahad dari jam 9 pagi hingga 5 petang.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : CHAN KOK KUAN