PENANTI – Usaha membanteras penyalahgunaan dadah tidak boleh hanya bergantung kepada tindakan penguatkuasaan, sebaliknya perlu digerakkan secara bersama dengan menjadikan komuniti sebagai benteng pertama dalam melindungi kawasan masing-masing daripada ancaman berkenaan.
Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen berkata, pendekatan berasaskan komuniti amat penting bagi memastikan usaha pencegahan, kesedaran, rawatan dan pemulihan dapat dilaksanakan secara menyeluruh sehingga ke peringkat akar umbi.
Menurut beliau, perkara itu selari dengan pelaksanaan Jawatankuasa Kampung Aspirasi Bebas Dadah yang kini menjadikan Taman Guar Perahu di Seberang Perai Tengah (SPT) dan Kampung Dodol di Daerah Timur Laut sebagai dua kawasan perintis.
“Pihak penguatkuasaan tidak dapat berada di sini 24 jam sehari, tetapi kita sentiasa ada kerana kitalah benteng pertama di kawasan kita.
“Gunakan peruntukan ini untuk melaksanakan program kesedaran dan aktiviti belia dan jadilah ‘mata dan telinga’ kawasan.
“Jika nampak tanda-tanda masalah dadah, maklumkan kepada pihak berkuasa.
“Malah, jika ada yang telah terlanjur, bantu mereka untuk pulih dan jangan dipulaukan,” katanya ketika berucap pada Jelajah Aspirasi Bebas Dadah dan Sambutan Bulan Malaysia Sihat Sejahtera Peringkat SPT di Dewan Pintar, Taman Guar Perahu, dekat sini pada 3 Oktober 2026.
Hadir sama, Pengarah Bahagian Rawatan dan Pemulihan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Malaysia, Mohd. Rafidi Jusoh; Pengarah AADK Negeri Pulau Pulau Pinang, Roswati Apin; Pegawai Kesihatan Daerah bagi Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Dr. Farzaana Adam; Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan) SPT, Adibah Abd. Aziz dan barisan kepimpinan komuniti setempat.


Mengulas lanjut, Zi Sen berkata, kedua-dua kawasan berkenaan diharap dapat menjadi komuniti contoh yang harmoni dan berdaya tahan, khususnya dalam membina persekitaran yang selamat serta bebas daripada ancaman dadah.
Katanya, Kerajaan Negeri turut menyalurkan peruntukan khas kepada Jawatankuasa Kampung Aspirasi Bebas Dadah dan Skuad Antidadah bagi membantu jentera akar umbi melaksanakan program pencegahan serta kesedaran secara lebih aktif.
“Peruntukan ini telah diluluskan dalam Mesyuarat Tindakan Membanteras Dadah Negeri yang dipengerusikan oleh YAB Ketua Menteri pada April 2026.
“Ini merupakan bukti komitmen kepimpinan Kerajaan Negeri untuk membantu jentera di akar umbi bergerak dengan lebih aktif,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, ancaman dadah kini semakin kompleks dengan kewujudan dadah sintetik seperti syabu, methamphetamine dan ekstasi yang boleh memberi kesan serius terhadap otak serta pemikiran.
Lebih membimbangkan, katanya, bahan terlarang berkenaan kini semakin mudah dipasarkan kepada golongan muda menerusi perkhidmatan dalam talian.
“Kita tidak boleh berdiam diri sebaliknya kita mesti bertindak sebelum ahli keluarga sendiri menjadi mangsa,” tegasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang.
Beliau pada masa sama mengingatkan bahawa penyalahgunaan dadah tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai isu penguatkuasaan atau sosial, sebaliknya turut perlu ditangani sebagai isu kesihatan awam yang memerlukan pendekatan pencegahan, rawatan dan pemulihan.
Sehubungan itu, katanya, peranan AADK perlu difahami secara lebih menyeluruh kerana agensi tersebut bukan hanya menjalankan tugas penguatkuasaan, malah menyediakan perkhidmatan pencegahan, kaunseling, khidmat nasihat serta program pemulihan dalam institusi dan komuniti.
“Jelajah ini dibawa terus ke tempat kita dengan tiga tujuan utama, antaranya memperkenalkan perkhidmatan AADK kepada masyarakat, menyediakan program kesedaran dan pendidikan khususnya kepada ibu bapa serta belia, selain menjadi ruang untuk bertemu, bertukar pandangan dan mendengar isu yang dihadapi penduduk,” ujarnya.


Mengulas Sambutan Bulan Malaysia Sihat Sejahtera, Zi Sen berkata, usaha membudayakan kehidupan sihat perlu dilihat sebagai komitmen berterusan dan bukan sekadar acara tahunan.
Katanya, pengalaman pascapandemik COVID-19 membuktikan bahawa kesihatan bukan lagi satu pilihan, sebaliknya keperluan yang perlu diberi keutamaan oleh setiap individu demi kesejahteraan keluarga, komuniti dan negara.
“Tagline ‘Budayakan Hidup Sihat, Kukuhkan Imuniti Badan’ mengajak kita menjadikan gaya hidup sihat sebagai amalan berterusan melalui pemakanan yang sihat, aktiviti fizikal, tidak merokok dan menggunakan vape, pengurusan stres yang baik serta pemeriksaan kesihatan secara berkala.
“Justeru, kedua-dua usaha ini saling melengkapi. Pencegahan dadah dan amalan hidup sihat perlu bergerak seiring dalam membentuk masyarakat yang lebih sihat, selamat dan sejahtera,” jelasnya lagi.


Zi Sen berkata, pendekatan tersebut turut selari dengan Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) yang menggembleng seluruh lapisan masyarakat melalui pendekatan whole-of-nation, melibatkan kerajaan, pihak swasta, komuniti dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Marilah kita menjadikan gaya hidup sihat sebagai satu budaya agar kita dapat membina generasi yang sihat, sejahtera dan bebas daripada dadah,” katanya.
Terdahulu, Zi Sen turut menyampaikan dua anugerah khas sebagai penghargaan kepada penggerak usaha pencegahan dadah, masing-masing Anugerah Aspirasi Penggerak Tempat Kerja Bebas Dadah kepada Mohd. Faizal Che Meh dari Unit Integriti, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, serta Anugerah Inspirasi Penggerak Komuniti Bebas Dadah kepada Mohamad Salehan Jahaya, Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Penanti.


Oleh: SUNARTI YUSOFF
Gambar: EXCO