Kon Yeow harap Experience Penang Year 2020 promosi lagi Nibong Tebal, Jawi sebagai destinasi pelancongan

Admin

JAWI – Festival Spring Gala 2020 KADUN Jawi yang telah dimasukkan dalam senarai kalendar pelancongan sempena Tahun Melawat Pulau Pinang 2020 diharap mempromosi lagi kawasan Nibong Tebal sebagai salah satu destinasi pelancongan terbaru di negeri ini.

Justeru, Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang berharap komuniti setempat turut memainkan peranan masing-masing dalam mempromosi produk pelancongan negeri.

“Melalui Experience Penang Year 2020 dengan tema ‘Kepelbagaian Asia’ yang telah dilancarkan, Kerajaan Negeri berharap kepelbagaian program sebegini mampu menampilkan kelainan melalui warisan, budaya dan kesenian kepada pelancong tempatan serta antarabangsa, sekaligus memberi peluang kepada penduduk tempatan untuk menjana pendapatan,” jelasnya ketika merasmikan Festival Spring Gala 2020 Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Jawi di Taman Nibong Tebal Jaya dekat sini pada 4 Januari 2020.

Turut serta, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, Jason H’ng Mooi Lye; Ahli Parlimen Nibong Tebal, Dato’ Mansor Othman; Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Heng Yeh Shiuan; Ahli Jawatankuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Jawi dan Jawatankuasa Pembangunan Wanita Kawasan (JPWK) Nibong Tebal.

Selepas penganjuran Festival Spring Gala 2020 berkaitan, Kon Yeow memberitahu bahawa ada lagi dua program besar yang akan dianjurkan di KADUN Jawi iaitu Karnival ‘Timilar Tirunaal’ dan Karnival Permainan Tradisional Kampung.

“(Dua program besar tersebut) masing-masing telah dijadualkan pada bulan Februari serta Mac 2020 nanti,” ujarnya yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong.

Dalam perkembangan lain, Kon Yeow menyatakan bahawa pentadbirannya berhasrat mewujudkan keseimbangan daripada aspek pembangunan antara bahagian pulau dan Seberang Perai.

“Kerajaan Negeri telah memperuntukkan perbelanjaan pembangunan infrastruktur hampir 70 peratus di Seberang Perai, sekaligus menafikan stigma masyarakat yang menyatakan Kerajaan Negeri meminggirkan masyarakat di Seberang Perai.

“Selepas kejayaan pembangunan di kawasan Batu Kawan, Kerajaan Negeri kini menumpukan pembangunan di selatan Pulau Pinang yang dilihat sangat berpotensi untuk dimajukan.

“Berlandaskan itu, Kerajaan Negeri telah mengenal pasti 17 lot tanah seluas 379.71 ekar di Ladang Byram bagi tujuan perindustrian serta pembangunan bercampur, sekaligus menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan,” ulasnya sambil memberitahu bahawa pelan pembangunan negeri bagi tempoh 11 tahun sehingga 2030 berlandaskan Visi Penang2030.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADUN