Kon Yeow harap Pulau Pinang catat jumlah keluar mengundi paling ramai di Malaysia

Admin

PERAI – Pakatan Harapan (PH) berharap Pulau Pinang menjadi negeri yang mencatatkan peratusan keluar mengundi paling ramai di negara ini sempena Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Calon bagi kawasan Parlimen Batu Kawan, Chow Kon Yeow yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata demikian pada Majlis Pelancaran Pusat Operasi Pakatan Harapan Parlimen P046 Batu Kawan di Taman Chai Leng di sini pada 5 Novemver 2022.

“Setuju atau tidak setuju, saya sebagai wakil anda menyahut cabaran Lim Kit Siang (ahli politik veteran Parti Tindakan Demokratik, DAP) supaya Pulau Pinang tersenarai sebagai negeri yang mencatatkan jumlah keluar mengundi paling ramai di Malaysia.

“Justeru, beri tumpuan kepada kempen, cuba untuk menyeru para pengundi berdaftar untuk mengundi serta menyertai kempen kita (PH) bagi merebut peluang pada (PRU15) kali ini.

“Ayuh, jadikan Pulau Pinang sebagai negeri yang mencatatkan jumlah keluar mengundi paling ramai di Malaysia ” serunya yang juga Pengerusi DAP Negeri Pulau Pinang.

Di samping itu, Kon Yeow turut menyatakan komitmen bahawa Batu Kawan akan terus berada dalam radar pembangunan negeri dan negara jika PH kembali menguasai Kerajaan Persekutuan sebagaimana pada pilihan raya umum lepas.

“Sebagai anggota (Exco) dalam Kerajaan (Negeri), kIta (PH) dapat meneruskan kesinambungan di Seberang Perai termasuk (kawasan Parlimen) Batu Kawan.

“Batu Kawan memang mempunyai banyak isu yang memerlukan perhatian, dan saya percaya pasukan dalam Kerajaan Negeri termasuk saya memberi perhatian serta tindakan bagi memastikan Batu Kawan akan menjadi satu tumpuan pembangunan dan sebagai koridor industri di negeri Pulau Pinang,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi.

Selain Kit Siang, turut berucap ialah Pengerusi DAP Kebangsaan, Lim Guan Eng yang juga calon PH bagi kawasan Parlimen Bagan dan Prof. Dr. P. Ramasamy (Timbalan Ketua Menteri II merangkap ADUN Perai).