Kon Yeow, JPS respons isu hakisan pantai Kuala Muda

GEORGE TOWN – Hakisan pantai yang dilaporkan berlaku di Kuala Muda dekat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Penaga baru-baru ini kemungkinan disebabkan perubahan musim tengkujuh pada akhir bulan Julai lepas, yang membawa ombak kuat ke sana.

Demikian respons Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow ketika diminta mengulas mengenai laporan atas talian sebuah media perdana bertarikh 26 September 2016.

“Saya fikir perubahan musim di pantai berhampiran (Hotel) Rasa Sayang (di Batu Feringghi) pada tahun-tahun tertentu mengakibatkan berlakunya perubahan keadaan di sana.

“Pada hujung tahun, selalunya keadaan pantai berhadapan (Hotel) Rasa Sayang sampai mencecah laman (Hotel) Rasa Sayang. “Pada waktu lain, pantai berubah disebabkan berubahnya musim, mungkin inilah keadaannya yang terjadi di (pantai) Kuala Muda,” jelasnya pada sidang media di sini.

Bercakap pada sidang media sama, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Ir. Sabri Abdul Mulok memberitahu, pihaknya menyedari fenomena hakisan pantai di Kuala Muda. Jelasnya, JPS akan mengemukan laporan lanjut serta memohon peruntukan berwajib daripada Kerajaan Persekutuan demi mengawal fenomena hakisan di Kuala Muda.

Terdahulu, media berkaitan melaporkan pengakuan seorang nelayan, Daud Karim, 75, yang mengaku bahawa arus kuat serta musim tengkujuh sejak akhir bulan lalu mungkin mengubah keadaan pantai di Kuala Muda.

Rakannya, Rohaizad Ahmad, 37, pula tidak menolak kemungkinan bahawa fenomena hakisan pantai tersebut disebabkan kerja-kerja penambakan laut di negeri ini. Beliau turut mencadangkan pemajuan sebuah jeti baharu untuk nelayan menambat bot masing-masing, supaya tidak hanyut kelak.