KM minta polis buktikan tiada amalan ‘double standard’ dalam siasatan

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN – Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Abdul Khalid Abu Bakar diminta untuk tidak bersikap ‘double standard’ dalam menjalankan siasatan terhadap mereka yang didapati mengeluarkan kenyataan menyinggung sensitiviti golongan tertentu, kata Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng di sini baru-baru ini.

Beliau berkata demikian dengan merujuk kepada tindakan membabitkan Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi Chuan Aun berhubung kenyataannya terhadap Allahyarham Datuk Dr. Haron Din, berbanding tiada sebarang tindakan sehingga kini diambil terhadap Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Nawawi Ahmad yang mengaitkan identiti ‘Malaysian Official 1’ atau MO1 dengan Yang di-Pertuan Agong.

“Begitu juga dengan ugutan oleh ketua kumpulan Baju Merah, Mohd Ali Baharom atau Ali Tinju yang dipercayai mengancam nyawa Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah baru-baru ini.

“Sekiranya Jeff Ooi boleh ditangkap, mengapa pula Ali Tinju tidak ditangkap dan ditahan?

“Sama juga Datuk Nawawi yang telah membuat kenyataan ke atas Duli Yang Maha Mulia (DYMM). Mengapa tidak ada sebarang tindakan dikenakan ke atas individu-individu yang saya sebutkan ini?

“Malah, tweet bekas pemimpin Perkasa, Zulkifli Noordin berhubung pemimpin DAP iaitu (mendiang) Karpal Singh dan Ridhuan Tee (pendakwah bebas) yang telah menghina atlet-atlet Olimpik Rio, dan juga masyarakat Cina turut tidak dikenakan sebarang tindakan,” soalnya pada sidang media di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Guan Eng dalam pada itu menggesa pihak polis agar menahan individu-individu yang dinyatakannya bagi membuktikan bahawa tidak wujud unsur double standard atau pilih kasih dalam siasatan pihak berkaitan.

“Sekiranya beliau (Abdul Khalid) bercakap benar bahawa tak ada sesiapa yang boleh melangkaui atau lebih atas dari undang-undang, maka saya harap dia (Abdul Khalid) buktikan dan mereka ini dapat ditahan dan ditangkap,” ujar beliau.