Kon Yeow kekal terajui PH Pulau Pinang, tiga jawatankuasa khusus ditubuhkan hadapi PRU16

Admin
339e54b3 e896 48c5 9da5 729a6d037902 KETUA Menteri

GEORGE TOWN – Chow Kon Yeow kekal dipilih sebagai Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang bagi tempoh tahun 2024/2026 bagi memastikan kesinambungan agenda reformasi, pentadbiran berkesan serta pembangunan mampan di negeri ini.

Mesyuarat Agung Tahunan PH Pulau Pinang yang berlangsung sebentar tadi turut bersetuju untuk melantik Naib Pengerusi Negeri Parti Tindakan Demokratik (DAP), Zairil Khir Johari sebagai Pengerusi Jawatankuasa Manifesto PH.

Wakil Parti Keadilan Rakyat (PKR), Lee Boon Heng ditaklifkan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penerangan PH, sementara wakil Parti Amanah Negara (AMANAH), Zahar Zainul dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Mobilisasi PH.

Kon Yeow yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata bahawa penstrukturan semula Majlis Pimpinan Negeri PH adalah bagi mengisi beberapa kekosongan ekoran pemilihan dalaman parti komponen, khususnya PKR baru-baru ini.

Sebagai langkah proaktif mendepani Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), Kon Yeow turut memaklumkan bahawa mesyuarat agung tahunan telah bersetuju membentuk Jawatankuasa Induk Pilihan Raya yang dianggotai oleh seluruh ahli pimpinan PH Negeri.

“Walaupun tarikh pilihan raya belum diketahui, pembentukan jawatankuasa induk, jawatankuasa kecil serta penstrukturan semula jentera di setiap Parlimen ini adalah tekad kami untuk memulakan persiapan di peringkat akar umbi dengan kadar segera,” jelasnya kepada pemberita di Wisma DAP Pulau Pinang dekat Jalan Rangoon di sini pada 23 Mei 2026.

ca7de7c9 f9a4 4c65 94e9 388d4fefdbc0Pengerusi DAP Negeri, Steven Sim Chee Keong; Pengerusi AMANAH Negeri, Muhammad Faiz Fadzil dan Naib Pengerusi PKR Negeri, Goh Choon Aik bersama-sama barisan pemimpin ketiga-tiga parti komponen tersebut turut sertai sidang media tersebut.

Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa jawatankuasa induk yang dibentuk turut akan mencermati trend kemerosotan keluar mengundi yang terjadi semasa Pilihan Raya Kecil Sungai Bakap lepas supaya tidak berulang pada pilihan raya umum akan datang.

Ditanya pemberita, Kon Yeow turut memberitahu bahawa kepimpinannya memang memantau secara rapat mengenai corak politik kepartian dari semasa ke semasa susulan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi pada 16 Mei lepas menyatakan hasrat untuk bertanding solo di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), selain pergolakan di Negeri Sembilan.

“Kita (PH Pulau Pinang) ambil maklum apa yang disarankan dalam Konvensyen (PH) itu (yang mana) saya rasa menyentuh tentang tiga buah negeri (iaitu Negeri Sembilan, Melaka dan Johor).

“Tetapi di lain-lain negeri, termasuk negeri Pulau Pinang, kita akan memantau dengan amat rapi (serta) kita buat persiapan dalam semua kawasan yang pernah kita tanding, itulah antara tindakan yang kita akan lakukan,” ujarnya.