Kon Yeow: Pemeriksaan awam projek LRT Bayan Lepas dibuka selama 3 bulan untuk kumpul maklum balas rakyat

Admin

GEORGE TOWN – Pemeriksaan awam bagi projek Transit Aliran Ringan (LRT) Bayan Lepas telah dibuka di empat lokasi termasuk di Tingkat 3, Komtar sejak semalam.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pemeriksaan awam sepanjang tempoh tiga bulan, mulai 19 Ogos hingga 19 November ini adalah bertujuan mempamerkan maklumat serta mengumpul maklum balas orang awam berhubung projek tersebut.

“Proses ini adalah wajib di bawah Seksyen 84 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 bagi membolehkan Pulau Pinang mendapat kelulusan akhir daripada pihak APAD bagi Skim Kereta Api Projek LRT Bayan Lepas,” jelasnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah dan Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi dalam sidang media di Komtar pada 20 Ogos 2019.

Turut serta, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman serta beberapa Exco Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang lain.

Selain Komtar, Kon Yeow memberitahu bahawa pemeriksaan awam seja emalam turut dibuka di pejabat agensi APAD di One Precinct, Bayan Baru; ibu pejabat APAD di Kuala Lumpur serta di kompleks ibu pejabat Majlis Perbandaran Seberang Perai (MSPP) dekat Bandar Perda, Seberang Jaya.

Tambah beliau, terdapat enam lokasi lain dikenal pasti untuk pemeriksaan awam secara bergerak (mobile booth), dua lokasi telah beroperasi iaitu di Tesco E-Gate dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA).

Menjawab soalan pemberita selepas itu, Kon Yeow mengalu-alukan semua pihak termasuk badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang tidak setuju dengan projek tersebut untuk menyertai sesi pemeriksaan awam selama tempoh tiga bulan berkenaan.

“(Sesi Pemeriksaaan Awam) ini adalah terbuka kepada semua orang awam, sama ada daripada sektor awam, sektor korporat, orang perseorangan, (penggerak) industri, NGO (badan bukan kerajaan), semua orang dijemput hadir untuk memberi pendapat mereka.

“Kerana, apabila projek ini dimulakan nanti, ia akan mengubah landskap fiskal bahagian pulau,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota.

Dalam perkembangan lain, beliau turut menjelaskan mengenai perkembangan terbaru berhubung hasrat Kerajaan Negeri memohon RM10 bilion peruntukan Persekutuan bagi membiayai kos-kos awalan projek-projek pembangunan bercampur Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) termasuk skim kereta api LRT Bayan Lepas.

“Menteri Hal Ehwal Ekonomi (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) pun mengesahkan menerima salinan surat itu (yang telah diserahkan) kepada Perdana Menteri (Tun Dr. Mahathir Mohamad) dan kepada Menteri Kewangan (Lim Guan Eng).

“Saya tidak mahu bertanya hasil (permohonan peruntukan Persekutuan RM10 bilion) itu sebab surat baru dihantar, tapi mengikut kelaziman sistem kewangan negara, projek-projek ini akan dipertimbangkan mengikut Rancangan Malaysia (yang direncana untuk tempoh) lima tahun.

“Sebab ini projek yang besar, andai kata Kerajaan Persekutuan bersetuju memberi peruntukan, ia akan dimasukkan dalam RMK-12 (Rancangan Malaysia Ke-12),” kata Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Tanjong.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ALISSALA THIAN
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS