Kon Yeow pengerusikan mesyuarat pertama Exco DUN Ke-15

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow mempengerusikan mesyuarat pertama bersama-sama Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) Negeri Pulau Pinang bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15 di Komtar petang ini.

KETUA Menteri mempengerusikan mesyuarat pertama Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang di Komtar.

Mesyuarat berkenaan dijadualkan bermula pada pukul 2.30 petang dengan dihadiri kesemua 11 Exco termasuk Kon Yeow serta Timbalan Ketua Menteri I yang juga merupakan Exco Pembangunan Agama Islam, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Perpaduan Masyarakat, Prof. Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid dan Timbalan Ketua Menteri II merangkap Exco Pembangunan Modal Insan, Sains dan Teknologi, Jagdeep Singh Deo.

Hadir sama, Exco Perdagangan dan Pembangunan Keusahawanan & Luar Bandar, Rashidi Zinol; Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Pembangunan Digital, Zairil Khir Johari; Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai; Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim dan Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, H’ng Mooi Lye.

Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen; Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Dato’ Seri S. Sundarajoo dan Exco Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi, Fahmi Zainol juga hadir pada mesyuarat berkenaan.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd. Sayuthi Bakar; Penasihat Undang-Undang Negeri, Roslinda Mohd. Shafie; Pegawai Kewangan Negeri, Zabidah Safar dan Setiausaha Sulit Kanan kepada Ketua Menteri, Muhamad Azrai Mohamad Zaini.

Terdahulu, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi menzahirkan ucapan syabas dan tahniah atas pelantikan Exco serta mengalu-alukan kehadiran semua ahli mesyuarat.

Difahamkan, antara agenda yang dibincangkan pada mesyuarat berkenaan adalah berhubung peranan dan tanggungjawab Exco bagi setiap portfolio yang dipertanggungjawabkan termasuk hal-hal lain berkaitan.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR