Kon Yeow rai syor Liga Muslim jenama semula bazar Ramadan Queen Street kepada karnival makanan

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyambut baik cadangan Liga Muslim Pulau Pinang untuk menjenamakan semula bazar Ramadan dekat Queen Street, Little India sebagai festival makanan demi menarik lebih ramai pengunjung tempatan dan pelancong asing ke sini.

“Bazar Ramadan ini dapat dijenamakan semula dan dipentaskan seperti Festival Makanan Pulau Pinang iaitu khusus untuk memperkenalkan makanan nasi kandar serta kuih-muih tradisional serta moden sempena Ramadan.

“Gerai-gerai itu, kalau nak dijenamakan semula, mungkin melibatkan suatu kawasan yang lebih luas ataupun dua tiga kawasan lain di bandar raya George Town, untuk projek penjenamaan semula ini,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota kepada pemberita sebelum menyempurnakan acara memotong reben sempena pembukaan Bazaar Ramadan Queen Street di sini pada 6 Mei 2019.

Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Tanjong memberitahu bahawa Kerajaan Negeri hari ini mengiktiraf Liga Muslim Pulau Pinang sebagai penganjur utama bazar Ramadan sekitar kawasan komersial Little India, yang masuk tahun ke-16 pada kali ini.

Sebelum itu, Presiden Liga Muslim Pulau Pinang, Datuk Haji Haja Najmudeen Kader yang mencadangkan kepada Kon Yeow supaya penjenamaan semula bazar Ramadan menjadi festival makanan antarabangsa negeri. 

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB 

Gambar : ELVIE CHENG

Video : LAW SUUN TING