Kon Yeow sambut baik pengumuman Anwar dapat sokongan majoriti bentuk kerajaan baru

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow merangkap Ahli Parlimen Tanjong menyambut baik pengumuman dibuat oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa telah mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu.

Menurutnya, beliau menyokong pengumuman tersebut memandangkan rakyat memerlukan kerajaan yang kuat dan stabil untuk menghadapi krisis ekonomi serta kesihatan ketika ini.

“Saya harap Anwar dapat membentuk kerajaan yang boleh membawa negara ke arah kerajaan kuat yang lazimnya dapat mengatasi krisis pandamik COVID-19, memulihkan sosioekonomi serta kesihatan rakyat di negara ini,” katanya pada sidang media dekat Komtar sebentar tadi.

Hadir sama, Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin dan Exco Agroteknologi & Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Norlela Ariffin.

Ketika ditanya sama ada beliau dilibatkan dalam perbincangan yang membawa kepada pengumuman tersebut, Kon Yeow menyatakan bahawa beliau hanya mengetahui perkara itu melalui laporan media.

“Saya tidak ada maklumat, mungkin Setiausaha Agung parti (DAP) mempunyai lebih banyak maklumat.

“Memandangkan Anwar tidak mengumumkan jumlah sokongan yang diterima dan masih belum menghadap Yang di-Pertuan Agong, maka lebih baik kita tunggu dulu buat masa sekarang,” katanya yang juga Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Pulau Pinang.

Terdahulu, Anwar mengumumkan bahawa beliau mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen bagi membentuk kerajaan baru yang kukuh.

Bagaimanapun, Anwar tidak mendedahkan jumlah sokongan tersebut dan hanya akan berbuat demikian selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ALISSALA THIAN
Video : LAW SUUN TING