Kon Yeow satu-satunya calon P046 berjaya ‘tawan’ puncak Bukit Batu Kawan

Admin

BUKIT TAMBUN – Chow Kon Yeow merupakan satu-satunya calon Ahli Parlimen Batu Kawan bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang berjaya ‘menawan’ puncak Bukit Batu Kawan di sini.

Turut mengiringi, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik bersama-sama hampir 150 komuniti setempat yang turut mendaki bukit tersebut sempena kempen PRU15 yang hanya berbaki tiga hari lagi sebelum hari pembuangan undi yang dijadualkan pada 19 November ini.

“Pihak penganjur program mendaki Bukit Batu Kawan memaklumkan kepada saya bahawa orang tempatan yang rata-rata adalah penduduk di sini selalu mendaki dan menjadikan kawasan (Bukit Batu Kawan) ini sebagai kawasan rekreasi mereka.

“Justeru, saya tidak mahu melanjutkan ucapan…diharap semua peserta acara mendaki pada pagi yang riang ria ini,” jelasnya sebelum menyempurnakan acara pelepasan peserta Program Sihat Cergas Bersama-sama Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow di kaki bukit tersebut dekat sini pagi tadi.

Sebelum itu, rata-rata peserta pendakian Bukit Batu Kawan turut menjayakan program senamrobik dan tarian zumba.

Seusai pendakian yang mengambil masa hampir 40 minit itu, Kon Yeow dan jentera pilihan raya Pakatan Harapan meneruskan kempen dengan melawat dan menyantuni penduduk di sekitar Pulau Aman.

Dalam pertemuan bersama-sama penduduk setempat, Kon Yeow menyatakan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui pejabat Exco berkaitan telah berusaha menambah baik infrastruktur asas di Pulau Aman demi keselesaan penduduk dan pelancong.

“Peningkatan kehadiran pelancong ke sini sekali gus dapat membantu meningkatkan pendapatan penduduk khususnya para peniaga.

“Oleh itu, kita berharap agar Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Pulau Aman akan terus memainkan peranan sebagai penghubung antara penduduk dan Kerajaan Negeri.

“Ini penting untuk Kerajaan Negeri terus mendapat kepercayaan dan keyakinan bahawa kita benar-benar jujur untuk meningkatkan kesejahteraan penduduk di sini.

“Soal berapa undi yang kita dapat di sini bukan isu penting kerana saya mahu buktikan sebagai Ketua Menteri, saya prihatin terhadap seluruh penduduk di negeri ini,” katanya sambil mengucapkan terima kasih atas sambutan baik yang diterima daripada penduduk setempat.

Tambah Kon Yeow, Kerajaan Negeri juga akan terus berusaha untuk memenuhi keperluan-keperluan yang diperlukan penduduk di Pulau Aman yang merupakan destinasi pelancongan semakin popular kini.

“Kita juga akan meneroka peluang pendapatan lain untuk penduduk selain daripada sumber yang diperoleh melalui kegiatan nelayan,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Choon Aik berkata bahawa Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sejumlah dana bagi kerja-kerja menaik taraf rumah inap desa di Pulau Aman yang terbiar sejak sekian lama untuk kemudahan para pelancong.

“Pembaikan rumah inap desa ini dilaksanakan melalui peruntukan mantan Ahli Parlimen Batu Kawan (P. Kasthuriraani) yang melibatkan kerja-kerja pembinaan jambatan dan koridor.

“Kerja-kerja pembaikan bahagian dalaman pula masih sedang dilakukan dan apabila siap sepenuhnya nanti, rumah inap desa ini akan diserahkan kepada MPKK untuk disewakan kepada pelancong,” ulasnya.

Tambah Choon Aik, sejak lawatan Ketua Menteri sempena Pesta Pulau Aman pada tahun 2020, banyak infrastruktur di kawasan tersebut telah dinaik taraf termasuk jeti Pulau Aman.

“Selepas penambahbaikan infrastruktur ini, kita dapati Pulau Aman telah mencatatkan kehadiran pelancong tertinggi pada tahun 2020 iaitu seramai 80,000 pengunjung dan unit nelayan berjaya mendapat kutipan berjumlah RM95,000,” katanya.

Selain menyantuni penduduk, Kon Yeow dan pasukan turut melawat beberapa tarikan yang ada di Pulau Aman dan menziarahi pusara arwah mantan Pengerusi MPKK Pulau Aman, Saibi Abd. Majid yang meninggal dunia beberapa bulan lalu.