Kon Yeow terima kunjungan Panglima 6 Briged, JAKPAW Negeri

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menerima kunjungan hormat Panglima 6 Briged Infantri Malaysia, Brigadier Jeneral Datuk Mohd. Akib Yusof di pejabatnya dekat Komtar sebentar tadi.

 

Turut mengiringi ialah Ahli Jawatankuasa Pendukung Askar Wataniah (JAKPAW) Negeri Pulau Pinang, Mejar Kehormat Tan Sri Dato’ Seri Dato’ Paduka Profesor Dr. Fng Ah Seng, JP dan Timbalan Komander Rejimen 509 Askar Wataniah, Leftenan Kolonel Hamizal Mohd. Musa serta beberapa orang pegawai dan juruiring.

 

Dalam pertemuan tersebut, Kon Yeow diberi penerangan berhubung struktur organisasi Briged Keenam Infantri Malaysia (6 Briged) serta bidang kuasa yang turut merangkumi isu keselamatan di sempadan; pendatang asing tanpa permit, ketum dan dadah di negeri-negeri di Wilayah Utara.

 

Turut disentuh adalah isu berkaitan kepenggunaan air dan kesesakan lalu lintas di negeri ini.

 

CHOW Kon Yeow menemani Mohd. Akib Yusof menandatangani buku tetamu di pejabatnya di Komtar.

Pada kesempatan itu juga, Mohd. Akib turut menzahirkan ucapan tahniah atas kemenangan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) baru-baru di Batu Kawan serta mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada Kon Yeow.

 

Sementara itu, Hamizal turut menyuarakan hasrat untuk memberi surat tawaran tauliah kepada Kon Yeow sebagai Brigedier Jeneral Kehormat selaku Penaung JAKPAW Pulau Pinang.

 

Beliau dalam pada itu juga berharap agar Kon Yeow menerima pentauliahan tersebut yang dilihat mampu mencetus semangat dalam kalangan anggota Askar Wataniah sedia ada.

 

Difahamkan, setakat hari ini terdapat kira-kira 2,900 anggota sukarelawan pelbagai bangsa yang menyertai Askar Wataniah di Pulau Pinang.

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI