Kon Yeow terima kunjungan rasmi Tunku Temenggong Kedah

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow hari ini menerima kunjungan rasmi daripada Y.T.M. Tunku Temenggong Kedah Brigadier Jeneral Dato’ Sri DiRaja Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah merangkap Komander Rejimen 509 Askar Wataniah (AW) Pulau Pinang.

 

Turut mengiringi keberangkatan tiba ialah Timbalan Komander Rejimen 509 AW Pulau Pinang, Leftenan Kolonel Hizral Kamal Othman Kamal dan Setiausaha Jawatankuasa Pendukung Askar Wataniah (JAKPAW) Negeri Pulau Pinang, Leftenan Kolonel Kehormat, Datuk Yaacob Md. Saad.

 

Dalam pertemuan yang berlangsung selama 30 minit itu, Tunku Temenggong Kedah berkenan berkongsi peristiwa bersejarah penubuhan Rejimen 509 AW yang mana Pulau Pinang merupakan negeri pertama yang mempunyai unit sukarela di Tanah Melayu dikenali sebagai Penang Volunteers iaitu pada 1861.

 

Malah, turut dibangkitkan adalah berhubung pembangunan di Pulau Pinang; isu-isu berkaitan pemeliharaan bangunan warisan; visi Penang2030; Undang-undang Kemanusiaan Antarabangsa dan perkembangan semasa pandemik COVID-19.

 

KETUA Menteri menunjukkan buku cenderamata yang memaparkan gambar-gambar pemandangan Pulau Pinang yang diambil menggunakan ‘drone’ kepada Tunku Temenggong Kedah di sini.

 

Teruja dengan tinggalan sejarah yang masih terpelihara di negeri ini seperti bangunan Dewan Undangan Negeri yang terletak di Jalan Lebuh Light yang dibina pada 1820-an, Tunku Temenggong Kedah itu turut tertarik dengan beberapa penemuan bersejarah lain seperti meriam lama di pesisir pantai utara dekat Jalan Tun Syed Sheh Barakbah dan tulang manusia purba di tapak neolitik Guar Kepah dekat Seberang Perai Utara.

 

Dalam pada itu, Tunku Temenggong Kedah turut menyembah maklum untuk memberi khidmat bakti kepada komuniti dengan mengadakan pelbagai bentuk aktiviti kemasyarakatan atau terlibat dalam pengurusan risiko bencana melalui pelantikan sebagai Komander Rejimen 509 AW berkuat kuasa pada Mac 2020 lalu.

 

Difahamkan, Tunku Temenggong Kedah juga dilantik sebagai Pengerusi Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM).

 

Sebelum berangkat pulang, Tunku Temenggong Kedah berkenan bertukar-tukar cenderamata di samping merakam gambar kenang-kenangan.

 

Terdahulu, Hizral Kamal menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang di bawah pimpinan Kon Yeow kerana banyak membantu Rejimen 509 AW termasuk dari segi peruntukan dan bantuan keperluan harian kepada anggota.

 

Beliau turut berharap kerjasama dapat terus dijalinkan termasuk dalam menambah keanggotaan Rejimen 509 AW di negeri ini.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : CHAN KOK KUAN