Kon Yeow tinjau pelaksanaan SOP PKPP di Kompleks Mahkamah Pulau Pinang

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow pagi tadi membuat tinjauan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) di Kompleks Mahkamah Pulau Pinang, sempena pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sehingga 31 Ogos 2020.

Exco Pelancongan, Seni, Budaya dan Warisan, Yeoh Soon Hin; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng yang juga Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri; ADUN Pengkalan Kota, Daniel Gooi Zi Sen; Ahli Parlimen Jelutong, R.S.N. Rayer dan Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh turut sertai lawatan tersebut.

Delegasi Kon Yeow disambut oleh Pengarah Mahkamah Negeri Pulau Pinang, Puan Hakim Zaharah Hussain.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Tanjong berharap pihak berwajib dapat mempercepatkan kerja-kerja pemeliharaan dan pemuliharaan pada fizikal blok bangunan warisan di sini supaya kembali boleh digunakan seperti biasa.

“Kita mengambil maklum mengenai masalah di Kompleks Mahkamah Tinggi Pulau Pinang ekoran penutupan bangunan warisan kerana perlu dibaik pulih.

“Kesannya adalah ruang yang tidak mencukupi, lebih-lebih lagi dalam tempoh PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) yang mana jarak sosial perlu diamali.

“Kita (Kerajaan Negeri Pulau Pinang) berharap agar pihak berwajib dapat segerakan kerja-kerja baik pulih bangunan (warisan) dan lain-lain kemudahan supaya proses mahkamah dapat dijalankan secara lancar,” jelasnya yang juga ADUN Padang Kota.

Difahamkan, bangunan warisan di Kompleks Mahkamah Tinggi Pulau Pinang tersebut ditutup sejak 2018 untuk kerja-kerja pembasmian anai-anai, namun dikatakan pemuliharaan infrastruktur fizikal tergendala sejak 18 Mac 2020 ekoran pelaksanaan PKP.

Sebelum itu, Puan Hakim Zaharah memberitahu pihaknya dimaklumkan bahawa kos penarafan diperlukan adalah berjumlah RM14.7 juta, tetapi, jabatan berwajib belum memulakan lagi sebarang kerja berkaitan pada kompleks berkenaan.

“Mungkin disebabkan peruntukan yang diperlukan adalah lebih daripada jumlah itu.

“Malah, pihak Mahkamah (Pulau Pinang) juga dimaklumkan bahawa kerja nyah anai-anai akan dijalankan terlebih dahulu dan sebagai tambahan, jabatan berkenaan juga menyatakan bahawa pihaknya akan memulakan kerja pada bulan Julai dan dijangka siap pada November (2020),” ujarnya.

Puan Hakim Zaharah dalam pada itu turut merakamkan penghargaan kepada pentadbiran Kon Yeow kerana sebelum ini turut menyumbang sejumlah pelitup muka kepada pihak Mahkamah Negeri Pulau Pinang.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : DARWINA MOHD. DAUD