Kon Yeow umum Norlela Exco baru Pulau Pinang

Admin

GEORGE TOWN – Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang mencadangkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti, Dr. Norlela Ariffin dilantik sebagai Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan baru.

Lantikan tersebut adalah selepas peletakan jawatan ADUN Seberang Jaya Dr. Afif Bahardin berkuat kuasa 4 Mac lalu.

Ketika mengumumkan perkara itu, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memberitahu bahawa majlis angkat sumpah jawatan akan berlangsung pada 12 Mac 2020 di kediaman rasmi Tuan Yang Terutama (TYT), Tun Dr. Abdul Rahman Abbas dekat Seri Mutiara.

“Saya telah menerima cadangan daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Pulau Pinang berhubung pengisian kekosongan jawatan bagi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

“Adalah diputuskan bahawa YB Dr. Norlela Ariffin (Norlela) iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti dilantik menjawat jawatan berkenaan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan,” katanya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi pada sidang media di Komtar pada 9 Mac 2020.

Beberapa Exco Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang turut sertai sidang media tersebut.

Sementara itu, pada sidang media berasingan selepas itu, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam, Chong Eng mengalu-alukan pelantikan Norlela sebagai Exco wanita pertama daripada PKR.

“Saya harap beliau dapat melaksanakan tanggungjawab sebagai Exco sebaik mungkin, bukan sahaja untuk (gender) wanita bahkan rakyat Pulau Pinang secara keseluruhannya,” ulasnya yang juga ADUN Padang Lalang.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ALVIE CHENG
Video : CHAN KOK KUAN & G. REVATIC