Kon Yeow umum penubuhan jawatankuasa siasatan khas insiden tanah runtuh di Bukit Kukus

https://www.facebook.com/buletinmutiara/videos/311272466146114/

GOERGE TOWN – Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang hari ini mengumumkan penubuhan jawatankuasa siasatan khas insiden tanah runtuh dekat tapak projek pembinaan jalan raya berkembar Paya Terubong di Bukit Kukus yang terjadi pada 19 Oktober lalu.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memberitahu, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman yang akan mengetuai jawatankuasa tersebut, turut dianggotai Zairil Khir Johari (Exco Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir), seorang jurutera dari Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) serta menjemput wakil Institut Jurutera Malaysia (IEM) Cawangan Negeri Pulau Pinang.

“Keputusan ini dibuat kerana pihak berwajib iaitu polis (Polis Diraja Malaysia) dan Bomba (Jabatan Bomba dan Penyelamat) telahpun melakukan kerja-kerja pencarian dan menyelamat sejak berlakunya kejadian pada hari Jumaat lalu sehingga 5.30 petang kelmarin (23 Oktober 2018).

“Kita (Kerajaan Negeri) harap jawatankuasa siasatan khas ini dapat memulakan kerja dalam sedikit masa lagi dan menghabiskan kerja-kerja (siasatan) ini dalam tempoh yang sesuai.

“(Tugasan jawatankuasa siasatan khas Kerajaan Negeri) ini adalah tambahan kepada siasatan yang sedang dan akan dilakukan oleh pihak-pihak berwajib,” jelasnya dalam sidang media di Komtar pada 24 Oktober 2018.

Kon Yeow yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi memberitahu bahawa penubuhan jawatankuasa siasatan khas itu adalah keputusan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri pada tengah hari tadi.

Tambah beliau, Mesyuarat Exco turut menerima laporan awal secara bertulis berhubung kejadian tanah runtuh tersebut, daripada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri.

“Daripada laporan awal yang kita terima, ada unsur-unsur ketidakpatuhan pada kaedah perjalanan projek di tapak berkenaan,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota dan Ahli Parlimen Tanjong.

Menjawab soalan pemberita, Kon Yeow menjelaskan bahawa tugasan jawatankuasa siasatan khas berkaitan tidak akan mengganggu proses siasatan atau pelaksanaan perintah henti pembangunan (SWO) yang telahpun dijalankan oleh agensi-agensi berwajib lain.

“DOSH (Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan) dan CIDB (Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia) adalah agensi (kerajaan) berwajib yang menentukan tahap keselamatan projek-projek pembinaan.

“Dan, jawatankuasa (khas) siasatan ini tidak akan menjejaskan apa yang berlaku (dan dilaksanakan) oleh CIDB dan DOSH.

“Seperti yang telah saya katakan, mereka (DOSH dan CIDB) akan meneruskan kerja-kerja siasatan dan ambil keputusan-keputusan sewajarnya, yang akan menentukan bila projek (jalan raya berkembar Paya Terubong) ini boleh diteruskan.

“Manakala, jawatankuasa siasatan khas yang ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri adalah untuk melihat apa-apa kelemahan, apa sebab ianya (kejadian tanah runtuh) berlaku,” katanya sambil memberitahu bahawa hasil siasatan dan laporan DOSH serta CIDB turut akan diambil maklum oleh jawatankuasa siasatan khas ini.

Respons beliau lagi, wakil daripada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) tidak akan menyertai jawatankuasa siasatan khas yang ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri, memandangkan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu adalah pihak berkepentingan dalam projek pembinaan jalan raya berkembar Paya Terubong.

Kon Yeow sekali lagi menjelaskan bahawa kejadian tanah kira-kira 2.30 petang 19 Oktober lalu terjadi ketika SWO sedang dilaksanakan.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video: ALISSALA THIAN