RM1.6 juta bina bangunan baru SAR, P. Pinang dipuji

SEORANG pelajar yang menerima sumbangan pendidikan bersalaman dengan Anwar Ibrahim (tiga dari kiri) sambil diperhatikan barisan kepimpinan Kerajaan Negeri yang lain.

Teks Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

PENANTI – Kerajaan Negeri menerusi Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) meluluskan peruntukan RM1.6 juta bagi membina bangunan tiga tingkat baru Sekolah Agama Rakyat (SAR) Maahad Tarbiah yang terdiri daripada enam bilik darjah serta dewan serba guna di sini baru-baru ini.

Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapannya memuji pentadbiran Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng kerana fokus pada pembangunan pendidikan, selain, giat mengembangkan potensi ekonomi negeri.

“Selepas Kerajaan Negeri diperintah oleh Y.A.B. Ketua Menteri, saya dimaklumkan peruntukan untuk SAR baru ada, sebelum itu semua disekat sungguhpun anak-anak kita sangat perlu bantuan serta infrastruktur pendidikan seumpama ini.

“Walau apapun perbezaan politik di peringkat pentadbiran, saya puji Y.A.B. Ketua Menteri kerana fokus pada pemberian pelbagai insentif pendidikan tanpa mengira kaum dan kepercayaan,” ujarnya dalam ucapan perasmiannya, sebelum menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Pembangunan Bangunan SAR Maahad Tarbiah di sini baru-baru ini.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon berucap mewakili Guan Eng, manakala, Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin berucap mewakili Datuk Abdul Malik Abul Kassim (Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna).

Hadir sama, Mufti Pulau Pinang, Sohibus Samahah Datuk Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor, Datuk Sazali Hussein (Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang, JHEAIPP), Datuk Mansor Othman (Pengerusi Yayasan Islam Pulau Pinang merangkap Ahli Parlimen Nibong Tebal), Dr. Norlela Ariffin (Ahli Dewan Undangan Negeri, ADUN Penanti) dan Ustaz Ibrahim Mat (Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan SAR Maahad Tarbiah).

Dalam perkembangan lain, Anwar turut menyokong hasrat pentadbiran Guan Eng memohon Kerajaan Pusat membiayai pemajuan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Tamil pertama di Malaysia di atas sebidang tanah dekat kawasan Parlimen Bagan yang akan disumbangkan oleh Kerajaan Negeri sendiri.

“Kerajaan Pusat sepatutnya tidak perlu menolak permohonan ini kerana ini pendidikan untuk anak-anak kita, baik berbangsa India atau beragama Islam…ini Malaysia, yang lebih adil,” tegas Anwar yang juga Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia di depan hampir 300 hadirin.

Difahamkan, Kerajaan Negeri hari ini sejak tahun 2009 hingga sekarang meluluskan peruntukan antara RM1.5 juta hingga RM1.75 juta kepada 102 SAR di negeri ini.

Sebelum itu, Anwar menjelaskan, jawatankuasanya hampir putus asa kerana permohonan pemajuan SAR itu daripada pihak berwajib pada era 1980-an dan 1990-an beberapa kali gagal.

Bagaimanapun, beliau melahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri hari ini atas kelulusan permohonan tersebut.