Konservasi kubu parit Kota Cornwallis mula dilaksanakan, jangka siap sepenuhnya 2025 – Ketua Menteri

Admin
KETUA Menteri semasa menyampaikan ucapan dalam majlis berkaitan di perkarangan tapak projek konservasi kubu parit air Kota Cornwallis di sini pada 14 Mac 2023.

GEORGE TOWN – Tertimbus kira-kira 100 tahun, sebahagian struktur binaan kubu parit air dekat Barat dan Selatan Kota Cornwallis di tengah-tengah Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town akan dipulihara serta dipelihara semula bagi meremajakan lagi kawasan pelancongan bersejarah jenis kota warisan terbesar dan perdana negeri di sini.

Semasa berucap, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa Kerajaan Negeri telah meluluskan peruntukan terkini sebanyak RM14.8 juta bagi pelaksanaan Fasa 5 dan 6 projek tersebut mulai tahun 2022 sehingga 2025, sebelum dibuka sepenuhnya kepada pelancong tempatan dan pengembara antarabangsa.

Kata Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi berkenaan lagi, Kerajaan Negeri turut merakamkan penghargaan kepada George Town Conservation and Development Corporation Sdn. Bhd. (GTCDC) iaitu agensi usaha sama antara Think City Sdn. Bhd. dan Perbadanan Ketua Menteri Pulau Pinang (CMI) serta bantuan kepakaran daripada konsultan antarabangsa, The Aga Khan Cultural Services (AKCS) atas penglibatan dalam kerja-kerja pemuliharaan semula struktur bangunan warisan bersejarah Kategori 1 tersebut sejak kira-kira sedekad yang lalu.

“Saya yakin dengan ikatan kerjasama ini, tidak lama lagi kita akan melihat pembangunan keseluruhan Kota Cornwallis yang boleh dijadikan contoh sebagai tapak warisan yang berjaya memaksimumkan aset warisan bernilai tingginya.

“(Kerja-kerja pemuliharaan dan pemeliharaan warisan ketara) ini juga sekali gus dilihat mampu meningkatkan pembangunan serta sosioekonomi negeri dengan pengekalan nilai-nilai sejarah, kelestarian alam sekitar serta mewujudkan ruang awam yang selesa, mampan serta inklusif untuk semua,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan semasa berucap dalam Majlis Pra-Pelancaran dan Lawatan Tapak Projek Penyediaan Parit Kubu Kota Cornwallis pada 14 Mac 2023.

GAMBAR sebahagian kawasan konservasi yang sedang dibina semula dalam fasa 5 dan 6, berhampiran Kota Cornwallis di sini.

Difahamkan, parit kota berair dengan kelebaran antara 9 hingga 20 meter (m) mengelilingi Fort Cornwallis dibina pada tahun 1804.

Pada akhir tahun 1921/1922, kubu parit berair di kota tersebut ditimbuskan bagi mencegah penularan wabak malaria.

Mengulas lanjut, Kon Yeow memberitahu bahawa sebahagian kubu parit sepanjang kira-kira 200 meter (m) akan dibina mengikut piawaian berwajib.

KETUA Menteri diiringi Jagdeep Singh Deo (kanan) turut merakamkan gambar kenangan di kawasan tapak konservasi Kota Cornwallis di sini tadi.

Berucap sebelum itu, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa, Jagdeep Singh Deo memberitahu bahawa kerja-kerja pemuliharaan semula sebahagian struktur warisan parit kota dengan kelebaran antara 9m hingga 20m juga adalah penting bagi melengkapkan salah satu daripada 14 komponen projek konservasi di bawah Pelan Induk Pesisir Pantai Utara Pulau Pinang (Penang Northern Seafront Masterplan).

“(Fasa 5 dan 6 projek konservasi Kota Cornwallis) ini adalah suatu projek yang begitu penting bagi memulihara warisan (ketara) kita di Pulau Pinang,” ujarnya yang juga ADUN Datuk Keramat.

Di bawah pelan induk sama, beliau memberitahu bahawa pelaksanaan Fasa 5 dan 6 di Kota Cornwallis adalah projek kesinambungan kepada projek pengukuhan dan penambahbaikan tembok penahan ombak berserta sesiaran pejalan kaki sepanjang 570 meter (m) dari Medan Selera Renong ke Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Jalan Tun Syed Sheh Barakbah yang berjaya disiapkan sebelum ini.

BARISAN pemimpin yang hadir dalam majlis pra-pelancaran dan lawatan tapak konservasi Kota Cornwallis di sini tadi.

Turut berucap, Pengarah Urusan Think City, Hamdan Abdul Majeed

Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd. Sayuthi Bakar; Pegawai Kewangan Negeri, Zabidah Safar; Timbalan Pengerus Besar CMI, Datin S. Bharathi dan Pengerusi Think City Sdn. Bhd., Dato’ Seri Dr. Anwar Fazal turut sertai majlis pra pelancaran dan lawatan tapak tersebut tadi.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : SITI NURATIKAH RAHMAT