Konsesi mesti lebih baik dari sedia ada, antara syarat meterai Akta 672

Admin
tkm1105b

 

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang menetapkan beberapa prasyarat perlu dirunding terlebih dahulu antara Kerajaan Negeri dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sebelum memutuskan pemakaian Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).

Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye berkata bahawa perkara itu dinyatakan melalui surat Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow kepada KPKT bertarikh 13 Jun 2024.

Jelas Mooi Lye, antara prasyarat yang harus diberi pertimbangan adalah Kerajaan Negeri mempunyai kata putus untuk menentukan syarikat konsesi yang akan melaksanakan perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam termasuk pengurusan semua fasiliti di Pulau Pinang.

“Dalam hal ini, Kerajaan Negeri boleh mencadangkan mana-mana syarikat termasuk anak syarikat Kerajaan Negeri sebagai syarikat konsesi di negeri Pulau Pinang.

“Syarikat konsesi tersebut dijamin untuk membangunkan dan mengoperasikan sebuah Loji Waste to Energy (WTE) yang akan ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan.

“Skop dan kekerapan perkhidmatan yang akan dimasukkan dalam perjanjian konsesi hendaklah setara atau lebih baik daripada pelaksanaan sedia ada bagi mengekalkan tahap pembersihan terbaik di Negeri Pulau Pinang,” ujarnya ketika menjawab soalan lisan dibangkitkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubuk sempenan Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-15 di sini sebentar tadi.

Tambah Mooi Lye, sebarang penambahan atau perubahan penetapan skop dan kekerapan perkhidmatan perlu mendapatkan persetujuan Kerajaan Negeri terlebih dahulu kerana implikasi tindakan akan mempengaruhi caruman PBT.

“Waran Perjawatan Tetap di PBT yang terlibat dengan penswastaan dikekalkan tanpa dijumudkan bagi mengisi jawatan di jabatan-jabatan yang memerlukan.

“Kakitangan PBT berstatus kontrak yang dipindahkan ke syarikat konsesi hendaklah diberikan jaminan jawatan kekal di syarikat konsesi,” tegasnya.

Tambah Mooi Lye, rundingan mengenai cadangan pengambilalihan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di Pulau Pinang di bawah Akta 672 masih belum dimuktamadkan berikutan keputusan Jemaah Menteri pada 29 April 2026 untuk
menangguhkan kajian dan rundingan tersebut.

“Penangguhan ini bertujuan memberi ruang kepada KPKT untuk meneliti semula implikasi kewangan kepada Kerajaan Persekutuan dengan mengambil kira keadaan ekonomi semasa dan kenaikan harga minyak dunia.

“Selain itu, pelaksanaan Akta 672 di Pulau Pinang akan diselaraskan dengan hala tuju baharu peluasan akta tersebut yang sedang diperhalusi oleh KPKT,” katanya merangkap ADUN Jawi.