GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan terus memperkukuh penyelenggaraan infrastruktur menerusi cadangan pemeriksaan dalam tempoh 12 jam bagi memastikan kualiti kerja pemulihan jalan serta keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya.
Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari berkata, pelbagai pendekatan sedang dilaksanakan menerusi kerjasama antara agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan syarikat utiliti bagi memastikan kemudahan awam sentiasa berada pada tahap terbaik.
“Tindakan terhadap ketidakpatuhan syarat permit kerja pengorekan jalan merangkumi pengeluaran notis pembaikan, arahan berhenti kerja, penggunaan atau perampasan wang cagaran serta pembatalan atau pembekuan permit.
“Pihak berkuasa tempatan (PBT) turut mengenakan kadar cagaran lebih tinggi sebagai jaminan pemulihan jalan, manakala pemantauan berkala dilaksanakan oleh pihak berkuasa jalan mengikut kapasiti agensi masing-masing.
“Kerajaan Negeri juga bersedia mempertimbangkan cadangan pemeriksaan dalam tempoh 12 jam bagi memastikan mutu kerja pemulihan jalan selepas kerja pengorekan sentiasa diberi perhatian,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan sempena Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 di sini hari ini.
Dalam aspek mitigasi banjir, Zairil memaklumkan bahawa Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengenal pasti sebanyak 170 kawasan banjir bagi tahun 2026 berdasarkan rekod kejadian sepanjang 2023 hingga 2025, merangkumi 44 kawasan titik panas (hotspot) dan 126 kawasan berisiko banjir.
“Tindakan mitigasi dilaksanakan berdasarkan punca kejadian, kapasiti saliran dan tahap risiko setiap kawasan, termasuk kerja pembersihan dan pengorekan sungai, penaiktarafan saliran serta pembinaan infrastruktur tebatan banjir.
“Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) membelanjakan hampir RM3 juta setiap tahun bagi penyelenggaraan kolam takungan banjir di Seberang Perai.
“Selain itu, Projek Tebatan Banjir Sungai Permatang Rawa mencatatkan kemajuan fizikal sebanyak 90.08 peratus, mengatasi jadual asal iaitu 86.18 peratus dan dijangka siap pada 27 Jun 2027,” katanya.
Menyentuh isu bekalan air di Balik Pulau, beliau memberitahu bahawa Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) sedang meneliti langkah penambahbaikan sistem agihan bagi menangani masalah tekanan air, khususnya di Flat Taman Sri Indah, Flat Lily dan Flat Hijau.
“Antara langkah jangka pendek termasuk pemantauan tekanan air, pembaikan kebocoran serta pemeriksaan tangki dan pam, manakala perancangan jangka panjang melibatkan pembinaan tangki perkhidmatan Bukit Penara dan kajian penaiktarafan sistem agihan dari Bukit Dumbar ke Balik Pulau bagi memenuhi unjuran permintaan sehingga 2050,” jelasnya.
Zairil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Bungah berkata, Kerajaan Negeri turut menyokong peluasan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan automasi secara terancang, beretika serta selamat bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam.
Katanya, penerokaan teknologi AI generatif (Generative AI), Kembar Digital (Digital Twin) dan Pulau Maya (Virtual Island) akan dilaksanakan secara berfasa dengan memberi keutamaan kepada pembantu digital, automasi dokumen dan pengurusan aset.
“Usaha ini turut diperkukuh menerusi Konvensyen Reformasi Perkhidmatan Awam Pulau Pinang 2026 yang menampilkan 19 projek inisiatif AI-RKB daripada 18 agensi dan bahagian.
“Digital Penang juga telah menganjurkan AI Hackathon for Public Sector dengan penyertaan 14 jabatan dan agensi Kerajaan Negeri bagi membimbing penjawat awam menghasilkan penyelesaian berasaskan AI tanpa memerlukan kemahiran pengekodan khusus,” katanya.
Tambah beliau, program hackathon dan bengkel AI generatif akan diteruskan pada 2027 bagi memperkukuh kemahiran penjawat awam.
Selain itu, maklumnya, cadangan pembentukan dasar AI negeri akan diteliti dengan mengambil kira aspek keselamatan siber, perlindungan maklumat rasmi, privasi, ketelusan dan akauntabiliti.
“Pendekatan bersepadu tersebut mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan pembangunan infrastruktur dan transformasi digital berjalan seiring demi meningkatkan kualiti hidup rakyat Pulau Pinang,” katanya lagi.
Gambar: ALISSALA THIAN