GEORGE TOWN – Pelaksanaan Projek Tebatan Banjir (RTB) Sungai Junjong, Sungai Bakap adalah berasaskan struktur fizikal memerlukan tempoh masa tertentu merangkumi fasa kajian, reka bentuk terperinci, pengambilan tanah, proses perolehan dan kos pembiayaan kewangan yang tinggi.
Perkara tersebut dinyatakan Exco Pengangkutan, Infrastruktur dan Digital, Zairil Khir Johari ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap, Abidin Ismail pada sesi Soalan Lisan sempena Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-15 di sini sebentar tadi.
“Dalam tempoh tersebut, tindakan yang berkesan untuk mengurangkan kejadian banjir adalah melalui pelaksanaan kerja penyelenggaraan secara berkala.
“Langkah ini akan mengekalkan kapasiti alur sedia ada bagi mengurangkan risiko limpahan semasa hujan lebat yang berterusan,” ujarnya.
Menjawab mengenai Kajian Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (IRBM) Lembangan Sungai Jawi bagi isu Sungai Junjong, Zairil menjelaskan bahawa
berasaskan prinsip kejuruteraan sungai, Sungai Junjong merupakan sebahagian daripada sub-lembangan Sungai Jawi.
“Dari sudut hidrologi, aliran air dan enapan dari Sungai Junjong memberi impak terus kepada kecekapan saliran utama Sungai Jawi.
“Oleh itu, menerusi prinsip IRBM, penyelesaian masalah seperti banjir perlu dilaksanakan secara holistik berasaskan sempadan tadahan air.
“Selain itu, dalam Kajian IRBM Sungai Jawi menggunakan pemodelan hidraulik dan data taburan hujan yang komprehensif bagi seluruh kawasan tadahan.
“Ini membolehkan sebarang reka bentuk tebatan banjir atau kawalan enapan di Sungai Junjong dinilai kesannya terhadap kawasan hilir secara tepat,” jelasnya merangkap ADUN Tanjung Bungah.
Berhubung pembangunan bagi kolam takungan dan ban banjir di Kampung Sepulau serta Tasek Chempedak, Zairil memberitahu ia masih dalam proses kajian.
“Sebagai langkah mitigasi jangka pendek,
Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pengairan dan Saliran Pulau Pinang (JPSPP) telah menyiapkan dua (2) kerja fizikal secara one-off dengan kos keseluruhan sebanyak RM400,000 pada Ogos 2026.
“Selain itu, JPSPP turut melaksanakan lima pusingan kerja penyelenggaraan Sungai Junjong sepanjang tahun 2026 bagi mengurangkan risiko banjir di kawasan berkenaan,” katanya.