Konsortium tawar syarat tambahan bercanggah, tiada keperluan sertai sesi RFP PDC, respons Ketua Menteri

chow kon yeow KETUA Menteri semasa sesi penggulungan Exco sempena Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 di sini pada 28 November 2024.

GEORGE TOWN – Tiada keperluan lagi memanggil petender yang sejak awal menawarkan syarat tambahan serta bercanggah dengan Permintaan Atas Cadangan (RFP) yang digariskan oleh Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), sebelum ini.

Demikian penjelasan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow sebagai menjawab perkara yang dibangkitkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Lim Guan Eng iaitu sebab musabab sebuah konsortium yang terdiri daripada IJM Properties Sdn.Bhd. (60 peratus) dan Aspen Vision All Sdn. Bhd. & Mettiz Capital Sdn.Bhd. (40 peratus) tidak dijemput menghadiri sesi RFP peringkat 2 bagi projek fasa dua Taman Perindustrian Batu Kawan (BKIP2) dekat Byram.

“Berdasarkan cadangan ketidakpatuhan yang diterima ini, pihak petender sendiri mengakui dengan jelas bahawa cadangan yang dikemukakan ini merupakan ‘Proposed Deviations’ seperti yang tertulis di dalam dokumen tender yang dikemukakan kepada PDC.

“Walaupun didapati tawaran yang dikemukakan oleh petender melebihi tawaran semasa rundingan bersama pihak UMECH, namun tawaran yang tidak mematuhi syarat-syarat RFP tidak wajar dipertimbangkan dan akan merugikan PDC kelak, serta melanggar prinsip tatakelola PDC.

“Secara rumusannya, Mesyuarat Lembaga Tawaran PDC secara sebulat suara dan berpuas hati bersetuju bahawa tawaran dikemukakan oleh petender tidak mematuhi syarat-syarat RFP dan memutuskan untuk tawaran ini ditolak serta tender RFP dibuka semula dengan beberapa penambahbaikan syarat-syarat baru mengikut keadaan semasa,” jelasnya yang juga ADUN Padang Kota.

Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi berkenaan memberi penjelasan tersebut semasa membuat Sesi Penggulungan Exco sempena Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 di sini pada 28 November 2024.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZ