KPKT sedang kaji status undang-undang Airbnb di Malaysia, maklum Exco

Admin

GEORGE TOWN – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di peringkat Pusat sedang mengkaji status undang-undang Airbnb di Malaysia, maklum Exco Pembangunan Pelancongan, Warisan, Kebudayaan dan Kesenian, Yeoh Soon Hin.

Soon Hin berkata demikian sebagai respons kepada soalan yang diajukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kota, adakah Kerajaan Negeri bercadang mengenakan Fi Kerajaan Tempatan kepada pengusaha penginapan Airbnb seperti mana yang dikenakan kepada pengusaha hotel di negeri ini.

Soon Hin memberitahu bahawa, pihak berkuasa tempatan (PBT) hanya mengutip Fi Hotel (dahulunya dikenali sebagai Fi Kerajaan Tempatan) daripada pemegang lesen hotel yang sah mengikut Undang-Undang Kecil Hotel.

“Bagi pengusaha penginapan Airbnb, PBT tidak melesenkan aktiviti berkenaan kerana premis digunakan adalah berstatus rumah kediaman yang sebenarnya tidak dibolehkan untuk aktiviti perniagaan.

“Kerajaan Negeri melalui Pejabat Penang Exco for Tourism Development, Art, Culture and Heritage (PETACH) juga telah membangkitkan isu ini kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia.

“Difahamkan bahawa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sedang mengkaji status undang-undang Airbnb tersebut,” ujarnya.

Walau bagaimanapun, Soon Hin yang juga ADUN Paya Terubong memaklumkan bahawa pihaknya (PETACH) turut sedang meneliti polisi-polisi yang dilaksanakan di luar negara membabitkan Airbnb seperti San Francisco yang memperkenalkan undang-undang penyewaan jangka pendek termasuk mengehadkan penyewaan rumah selama 90 hari setahun.

“Di Catalonia dan Spain, denda boleh dikenakan ke atas (pengusaha) Airbnb sehingga 30 ribu Euros dan tuan rumah boleh dikenakan denda sehingga 90 ribu Euros berikutan aduan-aduan yang diterima atas gangguan.

“Manakala, cadangan yang dilakukan oleh Singapore’s Urban Redevelopment Authority (URA) untuk mengehadkan jumlah orang yang menyewa satu unit kepada enam orang (sewa jangka pendek sehingga 90 hari), malahan Jepun juga telah memperkenalkan undang-undang untuk mengawal selia perkongsian rumah dengan mengehadkan perkongsian rumah (180 hari setahun),” jelas beliau.

Oleh: SITI HUMAIRA MOHAMED YASIN
Gambar: LAW SUUN TING