KRT releven, semarakkan muhibah rakyat berlandaskan Rukun Negara – Kon Yeow

Admin

SEBERANG JAYA – Kawasan Rukun Tetangga (KRT) yang ditubuhkan oleh Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak Hussein pada tahun 1975 demi ‘mengikat’ perpaduan sesama rakyat berbilang kaum di peringkat akar umbi, masih releven sehingga kini.

Mengulas lanjut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berharap KRT yang beroperasi di bawah Jabatan Perpaduan Negara dan Integriti Nasional Negeri Pulau Pinang dapat terus ‘mengikat’ semangat muhibah rakyat berlandaskan Rukun Negara.

“Bagi mengukuhkan perpaduan, saya rasa jawatankuasa-jawatankuasa (KRT) ini dapat ‘mengikat’ rakyat jelata di semua kawasan supaya sama-sama berpegang kepada prinsip (Rukun) Negara serta menyertai proses pembinaan Negara (bangsa moden dan) pembangunan sosial ekonomi.

“Saya percaya negara kita boleh bertambah kukuh, selagi ada komuniti tempatan (KRT) kuat yang mana ia menggunakan landasan di peringkat akar umbi bagi menunjukkan kepada rakyat mengenai hala tuju ditetapkan oleh pemerintah negara,” jelasnya ketika merasmikan Apresiasi Rukun Tetangga Negeri Pulau Pinang 2019 di BM City Ballroom dekat Bandar Perda di sini pada 16 November 2019.

Turut berucap, Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Jabatan Perpaduan Negara dan Integriti Nasional, Aldriana @ Mimi O.P. Andu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Air Tawar, Mustafa Kamal Ahmad; ADUN Jawi, Jason H’ng Mooi Lye antara ratusan hadirin pada acara tahunan tersebut.

Difahamkan, konsep asal KRT yang ditubuhkan kira-kira 46 tahun lalu adalah diambil daripada sistem operasi ‘Neighbourhood Watch’ di United Kingdom.

Kon Yeow yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi memberitahu bahawa KRT pada hari ini bukan sahaja melaksanakan kerja-kerja rondaan sukarela di peringkat komuniti.

Bahkan, menurut beliau, KRT juga memainkan peranan penting sebagai ejen memupuk semangat muhibah sesama rakyat.

“Kerajaan Negeri akan menyokong segala usaha yang dijalankan oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integriti Nasional Negeri Pulau Pinang bagi menguruskan isu-isu serta konflik-konflik khususnya yang berkaitan dengan kaum dan agama agar ianya dapat dikawal serta dicegahkan.

“Mungkin kerja-kerja yang sukar ini kita tidak selalu nampak, tetapi saya percaya pegawai-pegawai dan petugas-petugas di jabatan amat aktif di lapangan komuniti setempat untuk menangani sebarang isu yang tercetus,” ujarnya yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong.

Pada majlis sama, Kon Yeow turut menyampaikan Anugerah Jiran Wanita Cemerlang KRT Saujana Height, diikuti, KRT Blok L Jalan Tenggiri (Anugerah Jiran Muda Cemerlang), KRT Tanah Lot Kampung Baru Pokok Sena (Anugerah Jiran Usia Emas Cemerlang), KRT Taman Widuri (Anugerah Projek Ekonomi Rukun Tetangga), KRT Taman Intan Delima (Anugerah Projek Inovasi Khas), SRS Permatang Sintok (Anugerah Pengurusan Skim Rondaan Sukarela Cemerlang) dan KRT Kampung Melayu (Anugerah Pengurusan Rukun Tetangga Cemerlang).

Masing-masing johan membawa pulang sijil penyertaan dan wang tunai antara RM1,000 hingga RM2,000.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NUR AFIQAH ZAINUDI
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS