Kuasa pengguna mampu pengaruhi pengeluaran barangan, perkhidmatan – Ketua Menteri

Admin

GEORGE TOWN – Pengguna mempunyai hak dan kuasa dalam mempengaruhi aktiviti pembekalan sesuatu barangan dan perkhidmatan yang ditawarkan kepada mereka.

 

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, pengguna ialah kumpulan kuasa penting yang mampu mempengaruhi pengeluaran, pengedaran, penentuan harga serta mutu sesuatu barangan dan perkhidmatan.

KETUA MENTERI dan Saifuddin Nasution Ismail (depan, dua dari kiri) ketika ditemui media sejurus acara perlepasan peserta di sini, pagi ini.

“Dalam hal ini, kita (Kerajaan Negeri) akan memastikan usaha yang dijalankan oleh pihak Kementerian (Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, KPDNHEP) dapat meningkatkan kesedaran pengguna serta memberi peluang kepada mereka untuk mengetahui hak dan tanggungjawab kepenggunaan.

 

“Oleh itu, saya menyeru kepada semua rakyat di negeri ini supaya menjadi pengguna yang matang dan bijak serta dapat memberi maklum balas (mengenai kepenggunaan) kepada kementerian berkaitan demi melindungi hak-hak mereka sebagai pengguna,” ujarnya kepada pemberita sejurus menyempurnakan perlepasan acara larian ria sempena Sambutan Hari Pengguna Kebangsaan 2019 di Padang Kota Lama dekat sini pagi ini.

 

Dalam pada itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang turut hadir menyatakan bahawa penganjuran acara larian ria tersebut adalah sebahagian daripada sambutan yang akan berlangsung hari ini sehingga 11 malam nanti.

 

“Acara ini adalah usaha berterusan pihak Kementerian untuk membina kesedaran kepenggunaan tentang hak, kebebasan serta peluang kepenggunaan kepada masyarakat.

 

“(Dan) saya berharap melalui program sebegini, dapatlah melahirkan rakyat Malaysia yang mempunyai kesedaran kepenggunaan yang tinggi.

 

“Hal ini kerana, kuasa pengguna merupakan kuasa yang kuat dalam rantaian bekalan termasuk menentukan harga akhir kepada pengguna,” katanya yang memilih Pulau Pinang sebagai lokasi kempen sempena Sambutan Hari Pengguna Kebangsaan 2019.

ANTARA peserta yang mengambil bahagian dalam acara larian ria di Padang Kota Lama pagi ini.

Terdahulu, Kon Yeow dan Saifuddin menyertai acara senaman pagi dan zumba di Padang Kota Lama bersama-sama ratusan peserta larian ria yang mengambil bahagian pagi ini.

 

Difahamkan, majlis perasmian akan diadakan pada jam 8 malam ini dan akan disusuli dengan pelancaran Logo Rakan KPDNHEP.

 

Elly Mazlein, Suffian Suhaimi dan Herry Khalifah antara artis yang akan memeriahkan konsert mini malam ini.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI 
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI 
Video : ALVIE CHENG