Kuasai sains & teknologi demi pembangunan negara – KM

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

Gambar : SHUM JIAN-WEI

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng menasihati para pelajar supaya menimba ilmu serta menguasai bidang sains dan teknologi khususnya bagi menyumbang semula terhadap pembangunan negara pada masa hadapan.

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan sekumpulan kanak-kanak dari rumah kebajikan bukan laba, House of Hope dan Children’s Protection Society (CPS) Cawangan Pulau Pinang di Tech Dome Penang (TDP) baru-baru ini.

Kunjungan mereka ke TDP ditaja oleh Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) Cawangan Pulau Pinang sebagai pelaksanaan program atas tanggungjawab sosial korporat (CSR) pertubuhan berkenaan.

Menurut Guan Eng, proses pembelajaran dan penguasaan ilmu merupakan satu perjalanan yang berlanjutan dan bukannya terhad di bangku sekolah sahaja.

“Kami (Kerajaan Negeri) percaya bahawa penguasaan sesuatu bidang itu perlu diperkembangkan melalui ilmu pengetahuan dan saya percaya dengan adanya Tech Dome (Penang), pusat sains dan penemuan di Pulau Pinang, ia dapat mencetuskan inspirasi generasi muda, khasnya para pelajar untuk meminati bidang sains serta teknologi,” ujarnya selepas meluangkan masa kira-kira sejam bersamasama kumpulan kanak-kanak berkaitan baru-baru ini di sini.

Turut sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng, Pengerusi REHDA Cawangan Pulau Pinang, Datuk Toh Chin Leong dan Pengerusi Pengelola, David Fong.

Dalam pada itu, Guan Eng berharap kunjungan tersebut dapat memberi pendedahan sekaligus meningkatkan motivasi kanak-kanak berkenaan untuk menguasai bidang sains dan teknologi.

Selain TDP, kumpulan kanak-kanak berkenaan turut dibawa ke Entopia yang dahulunya dikenali sebagai Taman Rama-rama Pulau Pinang.} else {