Kukuhkan silaturahim, eratkan hubungan antara rakyat dan Kerajaan Negeri, seru Ketua Menteri

Admin

AIR ITAM – Tanggal 9 Mei 2018, Pakatan Harapan Pulau Pinang sekali lagi mendapat mandat besar bagi penggal ketiga berturut-turut untuk menerajui tampuk pentadbiran negeri ini.

Malah, pada Ogos 2018, Ketua Menteri Pulau Pinang kelima, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow juga melancarkan suatu visi, Penang2030 yang menjadi ‘tulang belakang’ dalam merencanakan pembangunan di negeri ini.

Menurut Kon Yeow, visi Penang2030 bukan sahaja akan memimpin jentera Kerajaan Negeri dalam menjalankan program-program berteraskan rakyat, malah juga membantu melaksanakan projek-projek pembangunan.

KETUA Menteri bersama-sama tetamu kehormat lain disambut meriah dengan paluan kompang dan kibaran Jalur Gemilang serta bendera Pulau Pinang pada majlis berkaitan.

“Melalui visi Penang2030, dasar dan polisi digubal bagi memberi fokus terhadap institusi kekeluargaan termasuk amalan dasar hijau dan penjagaan alam sekitar, amalan teknologi pintar dalam urus tadbir seterusnya mencapai (status) negeri maju yang menjadi teladan kepada negeri-negeri lain di Malaysia.

“Saya percaya, penggal ketiga Pakatan Harapan di Pulau Pinang…kami (pimpinan negeri) telah cuba sedaya-upaya memberi khidmat bakti dengan memastikan ekonomi diuruskan dengan sebaik-baiknya bagi menjaga taraf kehidupan serta mencipta peluang-peluang pekerjaan untuk rakyat di negeri ini.

“Oleh itu, untuk mencapai semua kejayaan ini, kita perlu sama-sama menggembleng tenaga dan segala sumber yang ada bagi memastikan Pulau Pinang menjadi negeri yang berdaya huni serta mampu menjaga kepentingan rakyatnya,” ucapnya pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri KADUN Air Itam yang diadakan di Dataran Komuniti Kampung Melayu dekat sini lewat petang tadi.

Turut berucap, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Joseph Ng Soon Siang; Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh dan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Melayu, Abdul Aziz Bukhari.

Hadir sama, ADUN Batu Lancang, Ong Ah Teong serta beberapa pimpinan tempatan.

Dalam ucapan sama, Kon Yeow memuji semangat gotong-royong yang ditonjolkan oleh penduduk di Flat Kampung Melayu dalam menjayakan majlis tersebut.

“Semangat muafakat yang ditonjolkan ini adalah sejajar dengan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum untuk sama-sama meraikan perayaan utama di negara ini.

“Kukuhkan silaturahim (yang terjalin ini) dan eratkan hubungan antara rakyat dan Kerajaan Negeri (melalui) penganjuran majlis sebegini,” katanya yang turut menzahirkan penghargaan kepada semua yang terlibat dalam menjayakan majlis berkaitan di sini.

CHOW Kon Yeow tidak melepaskan peluang menari boria pada majlis berkaitan dekat sini, tadi.

Di pentas sama, Kon Yeow bersama-sama Soon Siang dan Ramkarpal menggamatkan suasana majlis apabila turut serta menyertai persembahan boria ‘Anak Tanjung’.

Sate, nasi goreng, mi goreng, kuetiau goreng, bihun sup, ayam golek, laksa, murtabak, bubur kacang hijau, bubur gandum, kudap-kudapan, teh halia dan kek cawan antara 14 menu yang disediakan.

Usai sesi berucap, Soon Siang selaku tuan rumah turut menyempurnakan pemberian sumbangan kepada keluarga yang kurang berkemampuan selain menyantuni para tetamu yang tidak putus-putus.

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALISSALA THIAN