Kumpulan sasar terima set tanaman sayuran organik terarium

GEORGE TOWN – Kolaborasi PgCare Alliance bersama-sama PWD Smart Farmability (PWDSF) menyaksikan 1,000 keluarga kurang mampu dan kumpulan sasar bakal menerima set tanaman sayuran organik terarium.

 

 

Menurut Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow, pemberian set terarium tersebut mampu menyediakan kelangsungan makanan sihat kepada golongan berkaitan terutamanya yang terjejas dek COVID-19.

 

 

“Ini merupakan satu lagi kolaborasi di bawah PgCare Alliance yang mana rakan kongsi hadir untuk memenuhi keperluan komuniti melalui sumbangan sayur-sayuran teranium yang sesuai ditempatkan di kawasan perumahan sekitar bandar.

 

 

“Jadi, sebanyak 1,000 kotak terarium akan diagihkan kepada komuniti yang disasarkan untuk membantu membekalkan makanan bernutrisi serta sihat,” ujarnya pada majlis penyampaian simbolik di sini tadi.

 

 

Hadir sama, Exco Alam Sekitar dan Kebajikan, Phee Boon Poh merangkap Pengerusi PgCare Alliance; Ketua Jawatankuasa Kesihatan Mental PgCare Alliance, Datuk Seri Leslie Lee Kim Guan serta Pengasas dan Ketua Pegawai Ekskutif PWDSF, Dr. Billy Tan Chee Seng.

 

 

Boon Poh memaklumkan bahawa sebagai perintis, kotak-kotak terarium akan disumbangkan kepada kumpulan sasar di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Wawasan, Bukit Mertajam dan PPR Jalan Sungai.

 

 

Dalam pada itu, Kim Guan memberitahu bahawa tenaman terarium berkaitan mampu bertahan dalam tempoh satu hingga dua tahun.

 

“Antara sayuran menggunakan kaedah terarium adalah bayam, bayam Brazil, sayur manis dan lain-lain.

 

 

“Ia tidak memerlukan penjagaan yang terlalu rapi, cuma perlu diletakkan di kawasan bercahaya matahari, pengudaraan lima minit sehari dan hasil yang boleh dituai seminggu dua kali,’’ jelasnya.

 

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : LAW SUUN TING

Video : AHMAD ADIL MUHAMAD