Kunjungan hormat MUBARAK Cawangan Pulau Pinang, berkongsi status projek pembangunan negeri

Admin
whatsapp image 2023 12 28 at 11.20.26

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menerima kunjungan hormat daripada delegasi Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK) Cawangan Pulau Pinang di sini sebentar tadi.

Selain bertukar-tukar pandangan mengenai hala tuju pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu, delegasi yang diketuai oleh Yang Dipertua MUBARAK, Datuk Abdul Rashid Ismail turut berkongsi aspirasi serta isu yang menjadi fokus pertubuhan itu.

Antaranya adalah menyentuh mengenai keanggotaan MUBARAK yang terbuka bukan sahaja kepada bekas wakil rakyat pada peringkat Negeri dan Persekutuan; pembayaran pencen untuk wakil rakyat; aktiviti Kebajikan; projek berkaitan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) membabitkan ekonomi gig dan projek-projek pengangkutan serta pelancongan tempatan di Pulau Aman.

whatsapp image 2023 12 28 at 11.20.27
PERBINCANGAN pada sesi kunjungan hormat di sini.

Menyentuh mengenai pembangunan negeri Pulau Pinang terkini pula, Kon Yeow dalam maklum balas memberitahu bahawa projek-projek (pembangunan) yang dirancang kini telah dimulakan termasuk projek tambakan laut di selatan pulau Pulau Pinang, projek aliran transit ringan (pada peringkat akhir perbincangan depoh) dan projek pengurusan trafik.

Akhir pertemuan, Kon Yeow menerima buku edisi khas berjudul ‘Dua Dekad MUBARAK’ yang disampaikan oleh Abdul Rashid beserta profil MUBARAK Malaysia.

Timbalan Yang Dipertua MUBARAK, Datuk Liang Thau Sang; Setiausaha MUBARAK, Datuk Ariff Shah Omar Shah; Bendahari MUBARAK, Cheang Chee Gooi dan Ahli Jawatankuasa MUBARAK, Datuk Teoh Kooi Sneah antara yang turut sama pada pertemuan tersebut.

whatsapp image 2023 12 28 at 11.22.31
JAWATANKUASA Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia Cawangan Pulau Pinang merakam kenangan di lobi Pejabat Ketua Menteri.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : LAW SUUN TING