Kunjungan sulung delegasi Jabatan Audit Negara perkukuh tadbir urus negeri

Admin
cdeba2de 0b4e 4a14 a5b9 6e6b3f50ec76

GEORGE TOWN – Kunjungan Ketua Audit Negara, Dato’ Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi bersama delegasi dari Jabatan Audit Negara ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang disifatkan sebagai satu langkah signifikan dalam memperkukuh amalan semak dan imbang terhadap pentadbiran negeri.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Seri Law Choo Kiang berkata, kunjungan sulung itu mencerminkan komitmen berterusan ke arah tadbir urus yang lebih telus dan berintegriti.

“Laporan audit memainkan peranan penting sebagai rujukan utama kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam meneliti pelaksanaan dasar serta perbelanjaan kerajaan.

“Di samping itu, laporan audit bukan sahaja menjadi dokumen teknikal, tetapi juga merupakan instrumen penting dalam memastikan wujudnya mekanisme semak dan imbang terhadap pihak eksekutif, di samping membantu wakil rakyat menjalankan fungsi pemantauan dengan lebih berkesan,” katanya semasa sesi sidang media berasingan di DUN pada 23 April 2026.

Hadir sama, Timbalan Ketua Audit Negara (Syarikat), Azunan Daud; Pengarah Jabatan Audit Negara Negeri Pulau Pinang, Khairul Anuar Amat Johari; serta Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negeri (PAC) Pulau Pinang merangkap ADUN Sungai Dua, Muhammad Fauzi Yusoff.

1eedec8e 65ca 4905 85a4 47fca694bc76 3574d11a 78df 4d04 bd6e 9594f8c27b4a 8b5b62d7 4f86 4fc6 bd16 4c6739d77a5b
Mengulas lanjut, Choo Kiang turut menyatakan bahawa perkembangan teknologi masa kini memudahkan akses kepada laporan audit, sekali gus membolehkan orang awam dan wakil rakyat mendapatkan maklumat dengan lebih cepat dan telus.

“Walaupun laporan audit lebih menjurus kepada aspek kewangan, elemen tersebut kekal sebagai indikator utama dalam menilai tahap ketelusan serta mengenal pasti sebarang ketirisan atau kebocoran dalam pengurusan dana awam.

“Melalui laporan ini, kita dapat menilai sama ada agensi, jabatan mahupun syarikat berkaitan kerajaan (GLC) melaksanakan tanggungjawab mereka dengan baik serta mematuhi peraturan yang ditetapkan,” ujarnya.

Sehubungan itu, Choo Kiang berharap agar jalinan kerjasama antara Dewan Perundangan Negeri dan Jabatan Audit Negara dapat terus diperkukuh demi meningkatkan kecekapan serta integriti sistem penyampaian perkhidmatan awam.

“Usaha berterusan ini amat penting bagi memastikan tadbir urus yang lebih baik dapat dilaksanakan di semua peringkat pentadbiran negeri.

“Pada masa sama, semua pihak perlu mengambil serius setiap teguran dan syor yang dikemukakan dalam laporan audit agar penambahbaikan dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan,” jelasnya.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS