Kuota dua orang belia dalam anggota MPKK

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang meluluskan cadangan bagi penetapan kuota dua orang belia dalam keanggotaan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) melalui mesyuarat Exco yang diadakan pada Ogos lalu.

Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee memberitahu bahawa kuota yang ditetapkan tersebut adalah perlu terdiri daripada seorang belia lelaki dan seorang belia wanita berumur antara 21 hingga 35 tahun.

“Kuota wanita adalah termasuk dalam syarat pelantikan anggota MPKK iaitu 30 peratus keanggotaan yang terdiri daripada kalangan wanita.

“Selain itu, Biro Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dalam MPKK juga hendaklah diketuai oleh belia sama ada lelaki atau wanita.

“Langkah ini membuktikan bahawa Kerajaan Negeri sentiasa komited untuk menerapkan nilai-nilai kepimpinan dalam diri setiap belia di negeri ini,” katanya semasa sesi penggulungan dalam Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-14 di sini pada 15 Oktober lalu.

Tambah Lip Chee, Kerajaan Negeri bersama-sama Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC) juga berhasrat untuk membangunkan 40 pusat belia di negeri ini yang mana sebuah pusat akan diwujudkan di setiap kawasan Dewan Udangan Negeri (KADUN).

“Objektif mewujudkan pusat belia adalah bagi merangsang penglibatan belia dalam program-program serta aktiviti komuniti selain menyediakan ruang untuk mereka berinteraksi dan berkongsi idea kreatif.

“Sehubungan itu, di bawah kerjasama antara PYDC, MPKK Guar Perahu dan pejabat Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Penaga memutuskan untuk menjadikan Dewan Penempatan Banjir Pengkalan Bonggol sebagai Pusat Belia Penaga yang dijangka dapat digunakan pada November ini.

“Selain Penaga, kita juga sedang mempertimbangkan untuk mewujudkan pusat belia di Stadium Batu Kawan dan KADUN Penanti,” ulasnya lanjut.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa Kerajaan Negeri terbuka terhadap sebarang kerjasama dengan mana-mana persatuan belia di negeri ini bagi melaksanakan program-program berkaitan belia.

“Sebagai makluman juga, Kerajaan Negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM500 secara one-off kepada persatuan-persatuan belia yang aktif di Pulau Pinang untuk membuat permohonan dalam menghadapi situasi pandemik COVID-19 kini,” ujarnya sebagai respons kepada saranan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Muhamad Yusoff Mohd. Noor.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI