Kurangkan beban petugas hospital, NGO sumbang peralatan perubatan

Admin

GEORGETOWN – Badan bukan kerajaan (NGO), D’Home Mental Health Association (D’Home Mental Health) hari ini menyumbangkan peralatan perubatan kepada Hospital Pulau Pinang (HPP) dan Hospital Kepala Batas bagi mengurangkan beban petugas hospital yang getir berhadapan dengan pandemik COVID-19.

Sumbangan disampaikan oleh Pengerusi D’Home Mental Health, Datuk Leslie Lee kepada wakil Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), Chei Pei Hong dan Abdul Halim Abdul Hamid.

Leslie Lee (tengah) menunjukkan fungsi tongkat sokongan kepada Phee Boon Poh (kiri), diiringi Neoh Guan Eng (kanan).

Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh di kesempatan itu menzahirkan ucapan terima kasih di atas sumbangan dan keprihatinan pihak berkaitan.

“Sumbangan peralatan yang diberikan oleh D’Home Mental Health sedikit sebanyak dapat meringankan beban para barisan hadapan sewaktu melaksanakan tugas.

“Dalam masa yang sama, mereka akan berasa kurang letih dengan peralatan canggih yang bakal diagihkan nanti,” ujarnya sambil menyifatkan bahawa sumbangan tersebut disumbangkan tepat pada masanya di kala pandemik kini yang semakin meruncing.

Hadir sama, isteri kepada Leslie Lee, Datin Neoh Guan Eng.

Sementara itu, ditanya mengenai sumbangan yang diberikan, Leslie Lee mengatakan beliau agak sedih melihat keadaan getir yang kini dihadapi semua terutamanya para petugas barisan hadapan.

“Situasi sekarang agak kritikal, kemudahan peralatan perubatan di hospital semakin berkurang, pesakit pula semakin bertambah, pelbagai komplikasi boleh berlaku.

Chic En Smart Management menyampaikan sumbangan pelitup muka dan pensanitasi tangan.

“Dengan tongkat sokongan dan peralatan Oxygen Concentrator yang dilengkapi teknologi LED Panel yang boleh dihidupkan mengikut sensor pengaktifan suara (voice command), ia dapat memudahkan tugas para barisan hadapan tanpa perlu menukar tangki oksigen dan sebagainya,” jelas beliau.

Dalam perkembangan berasingan, Booh Poh memaklumkan pihaknya juga ada menerima 11,200 keping pelitup muka dan 1,080 pensanitasi tangan sumbangan Chic En Smart Management hari ini.

 

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : ALISSALA THIAN