Kurangkan sampah sempena sambutan Aidiladha, seru YDP

SEBERANG JAYA – Komuniti Seberang Perai dinasihatkan supaya berusaha mengurangkan penjanaan sisa domestik sempena musim perayaan Aidiladha yang dijadualkan 1 September nanti.

Yang di-Pertua (YDP) Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud mendedahkan jumlah beratan sisa domestik yang dihantar ke Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burong sehari sebelum Aidilfitri pada 24 Jun lalu adalah 792.01 tan berbanding 566.6 tan sampah yang direkodkan seminggu sebelum hari raya pada 17 Jun lepas.

“Peningkatan hampir 40 peratus bagi sisa domestik.

“Masyarakat perlupeka dan mengambil tanggungjawab bersama-sama dalam isu kebersihan…tidak membiarkan sampah bertaburan (di luar tong komunal yang disediakan MPSP),” jelasnya pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Biasa (MBM) MPSP di Kompleks Ibu Pejabat
MPSP dekat Bandar Perda di sini baru-baru ini.

Setiausaha Perbandaran, Ir. Rosnani Mahmod serta barisan Ahli Majlis MPSP lain turut sertai sidang media tersebut.