Kutipan sampah pukal percuma mulai 20 Januari hingga ambang Tahun Baru Cina

BATU MAUNG – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) akan meningkatkan perkhidmatan kutipan sampah pukal bersaiz besar seperti perabot mulai 20 Januari 2020 (Isnin) depan.

Menurut Datuk Bandar bagi MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang, kutipan tersebut akan dilakukan secara percuma.

“Sekiranya ada pekerja majlis atau kontraktor (dilantik) menuntut sebarang tuntutan, katakan tidak dan laporkan kepada kami (MBPP).

“Kebiasaannya sampah pukal akan dikenakan bayaran sebanyak RM100 untuk kediaman dan RM200 untuk komersial tetapi mulai 20 Januari sehingga petang ambang Tahun Baru Cina adalah percuma kepada unit kediaman sahaja,” ujar beliau dalam satu sidang media di Stesen Pemindahan Sisa Pepejal, Batu Maung pagi tadi.

Hadir sama, Ahli Majlis bagi MBPP, Ahmad Azrizal Tahir, Mohamed Yusoff Mohamed Noor dan Tan Soo Siang.

Selain sampah pukal, MBPP turut akan meningkatkan kapasiti bagi pungutan sampah domestik yang dijangka meningkat sempena perayaan tersebut.

Ahmad Azrizal dalam sidang media memberitahu, sebarang aduan berkenaan tuntutan bayaran boleh diadukan di talian 24 MBPP, 04-2637637 atau melalui aplikasi WhatsApp bernombor  016-2004082

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI