GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menjadualkan kutipan sampah pukal sempena Tahun Baru Cina bermula 7 Februari 2026 (Sabtu) hingga 16 Februari (Isnin).
Menurut Ahli Majlis MBPP, Rohaizat Hamid, kutipan sampah domestik bagi kediaman bertanah dan bertingkat masih dijalankan seperti biasa.
Tambahnya, kutipan tahun ini dimulakan 10 hari sebelum sambutan Tahun Baru Cina berbanding tujuh hari sebelum ini.

“Kutipan sampah domestik akan dibuat sebanyak dua kali sehari bermula dari 7 sehingga 16 Februari 2026 yang dijangka menghasilkan kapasiti sampah yang tinggi.
“Kutipan pertama pada jam 4 pagi hingga 10 pagi, kutipan kedua, jam 12 tenga hari hingga 4 petang dan tujuh lokasi tong Multi – Lift (ML) di pasar dan kompleks makanan.
“Bagi sampah pukal berlebihan, orang ramai dinasihatkan untuk menghubungi pihak MBPP bagi mendapatkan perkhidmatan khas Jabatan Perkhidmatan Perbandaran MBPP 04-2633000 (waktu pejabat) dan hotline MBPP, 04-2637637 (24 Jam),” ujarnya dalam satu sidang media di Dewan Bandaraya MBPP di sini pagi tadi.

Tambahan tong ML juga akan ditambah di pasar-pasar awam seperti di Pulau Tikus, Sungai Ara, Lebuh Campbell, Batu Lancang, Farlim, Taman Free School dan pasar borong Macallum.
MBPP dalam pada itu turut melarang sebarang pemberian angpow kepada kontraktor pembersihan atau kakitangan MBPP bertugas.
Sekiranya terdapat insiden atau tuntutan sedemikian, orang ramai diminta melaporkan kepada MBPP.
Pada sidang media sama MBPP turut mengemaskini senarai kontraktor pembersihan di kawasan pulau.
Ketua Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran bagi Jabatan Perkhidmatan Perbandaran MBPP, Zulkifely Baharum memberitahu bermula tahun 1 Januari 2026, pembersihan turut meliputi Pulau Gazumbo, Pulau Jerejak, Pulau Kendi dan Pulau Rimau.