Kutipan tol dilanjut hingga 2038 bebankan rakyat

GEORGE TOWN – Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng mempersoalkan mengenai keputusan Kerajaan Persekutuan untuk melanjutkan tempoh kutipan tol di seluruh negara sehingga 2038.

Menurut beliau, kadar tol tidak akan dinaikkan dalam tempoh lima tahun, namun, rakyat Malaysia terutama di negeri ini terus dibebankan dengan kutipan tol yang dilanjutkan sehingga 2038 kelak.

Berdasarkan laporan, Pulau Pinang paling teruk dibebani kutipan tol ekoran tol ‘Butterworth-Kulim Expressway’ (BKE) dilanjutkan sehingga 12 tahun (bermula 2026) manakala tol Jambatan Pulau Pinang dilanjutkan sehingga 17 tahun (bermula 2021).

“Ini tidak adil kepada rakyat Pulau Pinang. Mengapa pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) di Pulau  Pinang tidak pertahankan dan membela nasib rakyat di sini?” soal Ketua Menteri pada sidang media di Komtar di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, beliau kesal kerana rakyat Pulau Pinang seolah-olah dihukum untuk menanggung kadar tol  yang sememangnya membebankan.

“Kita (Kerajaan Negeri) tidak bersetuju dengan tempoh lanjutan tol oleh Kerajaan Persekutuan,” tegas Ketua Menteri lagi.