Kutipan zakat ZPP tahun 2023 meningkat kepada RM159.7 juta

img 20240209 wa0044

SEBERANG JAYA – Jumlah kutipan zakat oleh Zakat Pulau Pinang (ZPP) meningkat lagi kepada RM159.7 juta pada tahun 2023 berbanding RM150.14 juta pada tahun 2022.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata bahawa jumlah itu adalah merangkumi kutipan zakat harta dan zakat fitrah bagi tahun 2023.

“Prestasi kutipan zakat harta pada tahun 2023 adalah berjumlah RM152,860,020.39 berbanding RM143,546,763.64 (2022) iaitu peningkatan pada kadar 6.48 peratus.

“Walau bagaimanapun, bilangan pembayar zakat harta sedikit menurun pada 2023 kepada 75,296 orang/syarikat berbanding tahun 2022 iaitu seramai 77,895 orang/syarikat, penurunan seramai 2,597 orang/syarikat atau -3.33 peratus.

“Penurunan jumlah pembayar zakat harta adalah disebabkan oleh penyusutan mendadak bilangan pembayar zakat bagi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) iaitu seramai 4,990 orang berbanding tahun 2022.

“Hal ini disebabkan momentum pembayaran zakat KWSP telah berkurangan secara signifikan kerana tiada lagi pengeluaran bersasar yang disediakan oleh KWSP seperti pengeluaran i-Sinar, i-Citra dan sebagainya,” katanya pada sidang media dekat Ibu Pejabat ZPP dekat sini sebentar tadi.

img 20240209 wa0042

img 20240209 wa0039

Turut hadir, Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Dato’ Roslan Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Dato’ Amran Hazali.

Mohamad yang juga Yang Dipertua MAINPP berkata, kutipan zakat fitrah juga meningkat sebanyak 4.01 peratus kepada RM6,844,348 pada tahun 2023 berbanding RM6,580,382.97 pada tahun 2022.

“Jumlah pembayar zakat fitrah pada tahun 2023 meningkat sebanyak 20,715 orang atau 2.56 peratus kepada 829,304 orang berbanding 808,589 orang pada tahun sebelumnya.

“Agihan zakat pada tahun lepas pula meningkat 11.74 peratus iaitu sebanyak RM173,390,486.93 berbanding RM155,172,694.81 (2022).

“Bilangan penerima zakat (mustahik) pada tahun 2023 adalah seramai 43,367 orang berbanding pada tahun 2022 iaitu meningkat seramai 3,127 orang tau 7.77 peratus,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata kutipan zakat menerusi Skim Sakinah (Skim Potongan Zakat Bulanan) pada tahun 2023 meningkat sebanyak RM1,761,425.13 atau 3.18 peratus kepada RM57,082,548.99 berbanding RM55,321,123.86 (2022).

“Di samping itu, kutipan zakat harta yang diterima melalui laman portal www.zakatpenang2u.com pada tahun 2023 adalah sebanyak RM12,687,671.29 berbanding RM7,903,991.57 (2022) iaitu peningkatan pada kadar 60.52 peratus.

“Peningkatan pembayaran zakat melalui laman portal ini memberi gambaran bahawa pembayar zakat di Pulau Pinang sudah mulai menggemari kaedah pembayaran digital yang mudah dan cepat,” ujarnya sambil menambah bahawa ZPP menyasarkan kutipan zakat berjumlah RM170 juta pada tahun ini.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI